fbpx

Rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang pada 17 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah menyambut tetamu yang berkunjung ke majlis rumah terbukanya pada Hari Raya Aidilfitri di Hikmah Exchange, Kuching hari ini.

KUCHING – Rundingan untuk pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan diadakan pada 17 April nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, permohonan yang dikemukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam pertemuan mereka sebelum ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Seketariat Kerajaan Perpaduan.

“Mereka mengatakan mahu peruntukan dan apa sahaja syarat itu terserah kepada kerajaan.

“Maka saya kata akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Seketariat Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan apa yang dihasrat oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada majlis rumah terbukanya pada Hari Raya Aidilfitri di Hikmah Exchange, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah menegaskan tiada perjanjian dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang kepada wakil Perdana Menteri seperti yang dimaklumkan dalam pelbagai kenyataan mereka.

Malah katanya, beliau mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada wakil daripada pihaknya mengadakan perbincangan dengan ahli parlimen pembangkang.

“Saya mengesahkan daripada Perdana Menteri tidak ada.

“Jadi kalau itulah apa yang mereka kemukakan, maka saya kata bincanglah dengan kononnya wakil Perdana Menteri. Tidak perlu berbincang dengan saya lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI