fbpx

Hampir pengsan lihat anak sudah tak bernyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD JAMSYIR (gambar kecil) lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya di kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai kelmarin.

SUNGAI PETANI – Naluri seorang ibu yang merasakan perkara buruk berlaku kepada anak lelakinya ternyata benar apabila dimaklumkan bahawa anaknya itu lemas di kawasan air terjun di kaki Gunung Jerai dekat Gurun pada kelmarin.

Menurut Mazhaida Khamis, 46, dia berasa tidak sedap hati apabila suaminya menerima panggilan telefon daripada salah seorang rakan kepada anaknya, Muhammad Jamsyir Muhammad Jamil, 18.

“Saya sudah boleh agak sesuatu buruk menimpa anak sebaik suami menerima panggilan telefon daripada salah seorang rakannya anak pada petang
semalam.

“Memang betul apa yang saya rasa itu apabila suami beritahu kepada saya bahawa anak dipercayai lemas dan meminta saya siap untuk ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.

Katanya yang merupakan guru Kelas Agama dan Far­dhu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Bedong, di sini, di sepanjang perjalanan ke lokasi kejadian itu, dia berdoa agar anak kedua daripada empat beradik itu ditemui selamat.

“Kami bertolak dari rumah kira-kira pukul 4 petang dan berada di lokasi pencarian sehingga mayat anak ditemui pada pukul 6.18 petang semalam.

“Saya hampir pengsan apabila melihat jenazah anak ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” ujarnya.

Mazhaida meluahkan dia berasa tidak sedap hati apabila suaminya menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya.

Katanya, dia dimaklumkan anaknya lemas ketika cuba menyelamatkan seorang rakannya, Muhammad Danish Leong Adam Leong, 18, yang terkapai-kapai dan tenggelam timbul di satu kawasan di situ.

“Mereka pergi ke sana seramai lapan orang dengan menaiki sebuah kereta dan dua buah motosikal selepas mengambil sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar.

“Sepatutnya pagi ini (hari ini) dia pulang untuk meneruskan pengajiannya di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak selepas bercuti semester seminggu lalu tetapi apakan daya semuanya berlaku dengan kehendak Allah,” katanya.

Muhammad Jamil (kiri) melihat petugas dan ahli keluarga menaikkan keranda jenazah anaknya Muhammad Jamsyir untuk dibawa pulang selepas dibedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.

Tambahnya, anaknya semasa cuti semester menunjukkan perubahan ketara apabila lebih mesra dengan ahli keluarga berbanding sebelum ini.

“Dia yang agak pendiam sebelum ini dilihat lebih banyak berkomunikasi dengan kami termasuk selalu mengusik dua lagi adiknya ketika di rumah.

“Memang kami terasa kehilangannya kerana dia merupakan seorang anak yang baik, mendengar kata dan patuh kepada nasihat,” katanya.

Jenazah Muhammad Jamsyir dituntut keluarganya selepas bedah siasat dijalankan di HSAH untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Ngah di Bedong.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI