TEL AVIV – Tentera Zionis hari ini mengumumkan rancangan mengosongkan bandar Kiryat Shmona di utara Israel, selepas pertempuran tentera rejim dan pejuang Hizbollah tercetus selama beberapa hari di sempadan Israel-Lebanon.
“Markas Utara memaklumkan datuk bandar berkenaan mengenai keputusan ini. Rancangan ini akan diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pertahanan,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Militia Hizbollah dan kumpulan-kumpulan Palestin berbalas tembakan di sempadan Israel selama berhari-hari, selepas pejuang Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu dalam insiden yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh, kebanyakan mereka penduduk awam.
Lebih 3,700 penduduk Palestin turut terkorban di Semenanjung Gaza dalam serangan balas dendam Israel, demikian menurut kementerian kesihatan di Gaza.
Tentera Israel berkata, pihaknya berterusan menyerang sasaran Hizbollah ketika ketegangan di sempadan semakin memuncak.
“Tentera Israel melancarkan sebilangan serangan ke atas infrastruktur Hizbollah termasuk pos pemerhatian,” kata tentera rejim hari ini.
“Sebagai tambahan, jet-jet pejuang tentera kami membedil tiga pengganas (pejuang Hizbollah) yang cuba melancarkan tiga peluru berpandu anti kereta kebal ke arah Israel,” tambahnya. – AFP