fbpx
Burung hantu busut di Wang Kelian dikatakan semakin aktif menonjolkan diri sejak Februari lalu. - Foto Peter Ong.

Satu-satunya di Malaysia, burung hantu busut tarikan baharu Wang Kelian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KICAUAN burung hantu busut atau Dusky Eagle-Owl yang garau bergema di antara bukit-bukit batu kapur sekitar View Point Wang Kelian di Kaki Bukit, Perlis.

Di satu sudut, terdapat sekumpulan pencerap burung sedang setia menanti waktu tepat untuk merakam gambar burung hantu yang dikategorikan sebagai terbesar di Malaysia dan sukar ditemui.

Kelibat sepasang burung hantu tersebut jelas kelihatan bertenggek di atas pokok dengan anggaran ketinggian 340 meter dari paras laut.

Sesekali, pasangan burung hantu tersebut terbang dari satu pokok ke satu pokok.

Bagi jurufoto yang berasal dari Indonesia, Ristomoyo Kassim, 61, berita mengenai kehadiran burung hantu busut di Perlis diketahuinya menerusi Facebook.

“Saya bermastautin di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja saya tahu tentang burung ini menerusi Facebook, saya terus merancang perjalanan bersama tiga lagi rakan untuk ke sini.

“Kami menaiki kereta api dari Kuala Lumpur dan seterusnya mengambil Grab untuk ke sini.

“Kami sudah berada di sini dari pukul 6.30 pagi,” katanya kepada K2.

Tambah bekas pekerja bank itu, kehadiran mereka di situ sebenarnya sudah terlambat kerana baru saja mengetahui tentang burung dengan nama saintifik Bubo Coromandus pada Ogos lalu.

Justeru, mereka mahu segera mendokumentasikan kelibat burung hantu busut sebelum ia hilang daripada radar.

“Kesukaran untuk melihat burung hantu busut membuatkan kehadiran burung ini di Wang Kelian merupakan satu peluang keemasan buat peminat burung.

“Lebih menarik, kedudukan View Point Wang Kelian yang berada di tanah tinggi membuatkan keberadaan burung ini mudah dikesan,” ujarnya.

Untuk pengetahuan, View Point Wang Kelian menjadi tarikan pelancong untuk menyaksikan panorama indah alam semula jadi Wang Kelian daripada ketinggian 304 meter.

Kawasan tersebut merupakan antara tarikan yang diperkenalkan oleh Tourism Malaysia dalam usaha merancakkan pelancongan domestik sebagai persediaan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Sejak Disember tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis mula mengenakan caj bayaran kepada pengunjung bagi menampung kos penyelenggaraan kawasan tersebut.

Menurut pengawas hutan, Ramli Mat Hashim, 53, jumlah pengunjung di View Point Wang Kelian semakin meningkat sejak berita mengenai kehadiran burung tersebut tersebar.

Jurufoto dari pelbagai negara hadir untuk merakamkan gambar burung hantu busut.

Ujarnya, ini secara tidak langsung menambahkan lagi pendapatan bagi sektor ekopelancongan di kawasan terbabit.

“Sejak Julai lalu, jumlah kunjungan pelancong semakin meningkat terutama dalam kalangan pencerap burung yang sanggup datang dari seantero dunia.

“Dalam sehari, boleh dikatakan sebanyak 20 hingga 50 orang pencerap burung mengunjungi puncak Wang Kelian tanpa mengira masa,” ujarnya.

Berdasarkan rekod data yang dikeluarkan oleh eBird, kali terakhir burung hantu busut ditemui adalah di Taman Negeri Perlis pada 2018.

Buktinya, burung hantu busut tidak termasuk dalam 196 spesies burung yang direkodkan dalam buku A Photographic Guide Book – Birds Of Perlis State Park yang dilancarkan pada Ogos lalu.

Bahkan, satu-satunya spesies Eagle Owl yang tersenarai dalam buku Birds of Malaysia, A pocket Field Guide Book yang turut diterbitkan pada tahun ini hanyalah jenis Barred Eagle Owl atau burung hantu bubu.

Menurut penerbit dokumentari merangkap jurugambar hidupan liar, Peter Ong, 47, kelibat burung hantu busut mula dikesan olehnya dan rakan-rakan pada Februari lalu.

“Ketika itu, kami sedang memandu ke kawasan operasi menangkap gambar hidupan liar malam.

“Tiba-tiba, saya ternampak sepasang mata bercahaya merenung saya.

“Kami menghentikan kereta serta-merta di tepi jalan untuk menangkap gambar burung hantu tersebut.

“Tetapi pada ketika itu, kami tidak tahu bahawa kami telah berhasil merakam gambar burung hantu busut yang sudah lama tidak ada di Malaysia,” tuturnya.

Perkara itu hanya diketahui pasukannya ketika mereka sedang mencari maklumat berkenaan haiwan tersebut untuk didokumentasikan dalam buku Wang Kelian, Perlis- The Forgotten Valley.

Namun, penemuan mereka itu tidak disebarkan sehingga buku berkenaan dilancarkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sebuah hotel di Kuala Perlis pada Mei lalu.

Keputusan tersebut dibuat bagi mengurangkan kebarangkalian burung hantu tersebut menjadi mangsa ketamakan pemburu haram.

Tambah pejuang kelestarian alam dan biodiversiti itu, bentuk fizikal burung hantu busut lebih unik berbanding burung hantu lain.

“Burung hantu busut memiliki saiz badan yang besar iaitu lebih kurang 58 sentimeter. Ia juga memiliki telinga yang panjang.

“Burung ini merupakan haiwan pemangsa yang makan burung kecil, mamalia kecil, serangga, reptilia dan amfibia,” jelasnya.
Kedua-dua ekor burung hantu busut yang dijumpai di Wang Kelian sebelum ini merupakan satu-satunya yang ada di Malaysia.

Difahamkan, pasangan burung hantu berkenaan memiliki anak, namun anaknya sudah tidak lagi bersama pasangan tersebut.

Uniknya, pasangan burung hantu itu tidak segan silu dengan kehadiran manusia, malah ia seperti bangga menonjolkan diri.

Ujar Peter, tidak mustahil kekurangan kehadiran pengunjung di Wang Kelian sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyebabkan burung hantu busut kembali ke kawasan itu.

Namun, lelaki dari Kuala Lumpur itu berharap, kehadiran ramai pengunjung di View Point Wang Kelian ketika ini tidak akan memaksa burung tersebut berhijrah lagi.

“Orang ramai perlu dididik supaya jangan menjerit, jangan menyuluh lampu ke arah burung hantu ini atau mengumpannya dengan apa-apa makanan.

“Ini penting agar spesies burung ini tidak berasa terancam untuk terus tinggal di Perlis. Kehadiran burung hantu busut mampu menjadi tarikan tambahan kepada para pelawat di Wang Kelian,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN