fbpx

AmBank peruntuk RM450 juta bangunkan Pulau Andaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman (kanan) ketika hadir menyaksikan majlis pertukaran dokumen berhubung kemudahan pembiayaan kewangan sebanyak RM450 juta di Gurney Green, Pulau Andaman, semalam.

GEORGE TOWN – Sebanyak RM450 juta diperuntukkan Kumpulan AmBank bagi membiayai projek pembangunan mampan di Pulau Andaman, di sini yang dikendalikan oleh Tanjung Pinang Development (TPD), anak syarikat penuh milik Eastern & Oriental Berhad (E&O).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir, perkongsian dengan E&O dalam membangunkan Pulau Andaman itu menetapkan satu ‘mercu tanda’ bahawa kedua-dua pihak sedia untuk bersatu dalam mengurangkan kesan alam sekitar, selain mempromosikan masa depan yang lebih mampan.

Katanya, AmBank memahami bahawa institusi kewangan turut memainkan peranan yang penting dalam menyalurkan modal ke arah projek alam sekitar, di samping menggalakkan peralihan kepada ekonomi yang lebih ‘hijau’.

“Oleh itu, kami bangga menjadi sebahagian daripada ‘pergerakan yang semakin berkembang’ ini khususnya bersama TPD dalam inisiatif mereka ke arah ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan, sekaligus melengkapkan kerjasama yang terjalin bersama E&O sebelum ini.

“AmBank yakin perkongsian ini mampu memacu perubahan yang positif selain menyediakan penyelesaian pembiayaan yang seterusnya akan memperkasa Kumpulan E&O untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam pembangunan hartanah yang mampan,” katanya ketika menghadiri majlis pertukaran dokumen antara AmBank dan TPD berhubung kemudahan pembiayaan itu di Gurney Green, Pulau Andaman di sini semalam.

Pulau Andaman, iaitu pulau buatan yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 291 hektar secara umumnya mempunyai amalan dan prinsip mampan yang terbina dalam terasnya, dengan setiap bangunan di pulau ini telah direka bentuk untuk memenuhi piawaian Pensijilan Bangunan Hijau.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif E&O, Datuk Tee Eng Ho memberitahu, dengan sokongan berterusan daripada AmBank, pihaknya berharap dapat merealisasikan visi untuk membangunkan Pulau Andaman Fasa 1 yang dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM17 bilion.

Untuk rekod, projek pertama di Pulau Andaman, iaitu The Meg yang melibatkan pembangunan lebih 1,400 unit pangsapuri khidmat telah dilancarkan sejak Disember 2021 manakala projek pembangunan kedua, Arica pula dilancarkan pada Mac lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI