fbpx

Banyak barangan elektrik jenama tempatan mirip SMEG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peti sejuk jenama Isonic dan pembakar roti jenama electrova yang mirip seperti jenama mewah, SMEG

PETALING JAYA – Sebelum ini kecoh di media sosial apabila seorang pempengaruh menggunakan barangan elektrik jenama mewah, SMEG yang harganya mencecah ribuan ringgit.

Bagaimanapun, netizen turut mempersoalkan kemampuan individu tersebut kerana dia hanya tinggal di sebuah kediaman di projek perumahan rakyat (PPR).

Tinjauan Kosmo! di beberapa gedung beli-belah atas talian mendapati, harga sebuah peti sejuk jenama SMEG adalah bermula sekitar RM15,000 sehingga lebih RM25,000 bergantung kepada jenis dan kapasitinya.

Selain itu, harga pembakar roti jenama itu juga bermula pada harga RM1,000 pengisar kopi RM1890, cerek air RM700 serta bekas pisau juga hampir RM300.

Malah, jika peti sejuk berkenaan mempunyai corak istimewa seperti retro dan kolaborasi dengan jenama fesyen mewah harganya boleh mencecah sehingga RM70,000.

Akan tetapi, ada juga barangan tersebut yang mirip dengan jenama mewah itu adalah buatan tempatan seperti peti sejuk jenama Isonic yang berharga lingkungan RM2,000 dan cerek air hanya berharga bawah RM200.

Kosmo! semalam melaporkan pempengaruh media sosial, Syamimia mendedahkan dia hanya menempah khas pembalut serta logo jenama mewah, SMEG semata-mata untuk dipasang pada peti ais di rumahnya.

Syamimia menerusi satu temu bual di sebuah program realiti baru-baru ini memaklumkan peti ais di rumahnya hanyalah sebuah jenama tempatan dan bukanlah berharga puluhan ribu ringgit seperti mana yang diperdebatkan netizen.

“Itu sebenarnya bukan peti ais SMEG, bila orang terlampau suka bercakap tentang kehidupan orang, buat spekulasi sebab itu saya ‘cool’ sahaja, itu bukan SMEG,” ujarnya.

Terdahulu, Syamimia menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial apabila menerima kecaman hebat netizen kerana menggunakan perabot serta barangan berjenama mewah walaupun menetap di sebuah flat PPR.

Keadaan tersebut dapat dilihat menerusi kandungan video memasak dan mengemas rumah yang dimuat naiknya di akaun TikTok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI