fbpx

Tak perlu politikkan isu ‘maha kaya’ – Puad Zarkashi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Puad (kiri) dan Hamzah (kanan).

PETALING JAYA – “Tidak perlulah dipolitikkan isu ‘maha kaya’ ni”.

Demikianlah respons Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi terhadap kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Hamzah sebelum ini berkata, ayat yang digunakan Perdana Menteri seakan-akan menuding golongan ‘maha kaya’ ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu.

Jelas Mohd. Puad, sebenarnya Perikatan Nasional (PN) faham apa yang dimaksudkan oleh Anwar apabila menegur golongan ‘maha kaya’.

Ujarnya, Hamzah sendiri mengakui PN tidak akan berkompromi dengan pihak yang mendapat kekayaan hasil daripada kegiatan ekonomi gelap dan tidak bermoral.

“Itulah maksud Perdana Menteri. Termasuk jadi kaya kerana melanggar tatakelola kewangan macam isu Jana Wibawa. Tak perlulah dipolitikkan isu tersebut.

“Kita mahu ‘maha kaya’ yang boleh berunding macam Syed Mokhtar. Dia menyumbang RM10 juta untuk pesawah padi miskin setelah Anwar minta dia mengurangkan monopoli beras negara.

“Kita tidak mahu ‘maha kaya’ yang cuba mencatur politik negara dan menaja kerajaan tebuk atap. Hamzah pula terasa pedas cilinya,” tulisnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam, Hamzah menyuarakan kebimbangan terhadap intonasi dan naratif Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang memberikan gambaran negatif kepada golongan kaya.

“Saya hairan sudah acap kali Anwar melabelkan mereka sebagai golongan maha kaya yang seolah-olah melakukan banyak kesalahan.

“Apa salahnya kerajaan merangkul dan menggarap penyertaan semua pihak, termasuk golongan ahli perniagaan yang berjaya dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam usaha menarik pelaburan luar dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat,” kata Hamzah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI