fbpx

Ringgit cecah paras 4.74 berbanding dolar Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asas ekonomi negara yang stabil memberi petunjuk bahawa ringgit akan kembali mengukuh. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Nilai ringgit terus jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kepada paras RM4.74 pada sebelah pagi, di tengah-tengah kebimbangan konflik di Asia Barat bakal memburuk.

Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan tersebut membuatkan permintaan terhadap mata wang yang dianggap selamat (safe haven currency) seperti AS$ melonjak.

“Isu sekarang adalah mengenai konflik antara Hamas dan Israel. Minggu ini Presiden AS, Joe Biden dijangka ke sana yang memperlihatkan betapa seriusnya perkara ini sehingga turut melibatkan kuasa-kuasa besar, sama seperti situasi di Ukraine.

“Kebimbangan tidak lain dan tidak bukan adalah terhadap pasaran komoditi seperti minyak, dan ia berpotensi menghasilkan satu lagi kejutan kepada ekonomi global.

“Kemungkinan inflasi bakal berlaku dan bank-bank pusat mungkin memberi respons melibatkan kenaikan faedah. Ini mengakibatkan permintaan terhadap mata wang selamat seperti AS$ dan yen menjadi begitu dominan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Afzanizam

Mohd. Afzanizam berkata, mata wang AS$ kini menjadi pilihan pelabur, memandangkan pasaran buruhnya yang kukuh dan stabil memberi kemungkinan negara Uncle Sam itu akan menaikkan kadar faedahnya pada November, sesuatu yang tidak mambantu nilai ringgit ketika ini.

“Hal ini berikutan jumlah pekerjaan yang diwujudkan di AS pada September lalu berjumlah 336,000, jauh lebih tinggi berbanding jangkaan pada 187,000.

“Ia sekaligus menjadikan paras ringgit berbanding AS$ semakin menghampiri tahap rintangannya pada 4.7495 berdasarkan analisis teknikal dan nilai ringgit dijangka terus berlegar sekitar paras 4.72 dan 4.73 dalam tempoh masa terdekat ini,” jelasnya.

Afzanizam menambah, pada paras sekarang, ringgit sudah berada dalam keadaan terlebih jual dan untuk ringgit jatuh lebih rendah mengatasi tahap rintangan memerlukan keadaan yang lebih buruk berbanding sekarang.

Ujarnya, krisis di Asia Barat tidak mustahil mampu mencetuskan situasi tersebut.

“Sekiranya ringgit sudah melepasi paras rintangan, paras rintangan seterusnya mungkin mencecah 4.80 dan sekiranya berlaku ia pastinya menjadi satu kebimbangan.

“Kesan terutamanya adalah pada kenaikan inflasi memandangkan kita banyak mengimport makanan dan bukan semua barangan makanan disediakan subsidi oleh kerajaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI