fbpx

Pika gadis ayu lembut di luar, ‘besi’ di dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN memiliki wajah ayu, namun Pika sedia berkhidmat kepada negara dengan menyertai keluarga ATM pada satu hari nanti.

LAZIMNYA, kebanyakan anggota tentera memiliki raut wajah yang garang dan serius supaya tampak gerun dalam kalangan musuh.

Bergelar perajurit juga memerlukan setiap anggota dilatih agar tidak gentar dan senantiasa mempersiapkan diri dengan sebarang bentuk ancaman.

Pun begitu, baru-baru ini tular dalam aplikasi TikTok mengenai seorang gadis manis tampil dengan wajah ayu sebagai seorang Leftenan Muda yang baru ditauliah di bawah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Dikenali sebagai Pika dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, gadis itu berjaya menamatkan latihan dan bergelar Leftenan Muda untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 9 September lalu.

Menurut Pika atau nama sebenarnya Nur Syafiqah Nabihah, meskipun dianugerahkan wajah lembut dan ayu, namun di dalam jiwanya dia merupakan seorang gadis besi serta sedia berhadapan musuh pada bila-bila masa.

Berkongsi kepada iGen, gadis berusia 24 tahun itu berhasrat melapor diri menyertai Pasukan Simpanan TLDM dan jika diterima akan dihantar ke markas di zon masing-masing.

“Saya akan berada di bawah Pasukan Simpanan TLDM selama lima tahun. Jika berjaya, saya akan diserap sebagai pegawai tetap TLDM.

“Saya buat semua ini untuk ayah, dia merupakan seorang pesara Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Sejak saya kecil lagi, ayah sudah berada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ayah simpan harapan besar untuk lihat saya ikut jejak langkah dia jadi warga ATM,” katanya memulakan bicara.

PIKA menyertai Palapes bagi memenuhi impian bapanya yang juga bekas anggota ATM.

Berkongsi kisah dan cabaran sebelum mendapat pentauliahan, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menjelaskan, selain perlu menamatkan pengajian selama empat tahun, dia turut diwajibkan untuk menjalani latihan berintensiti tinggi.

Katanya, latihan tersebut berjalan selama tiga minggu sebelum seseorang pelatih layak dikurniakan watikah pelantikan sebagai Leftenan Muda.

“Sepanjang 21 hari, kami banyak dikerah untuk buat latihan berbentuk fizikal dan ketenteraan.

“Kami berkawad seawal pukul 7 pagi dan boleh berlanjutan hingga ke larut malam. Seawal pukul 3 pagi, kami sudah bangun dan bersiap. Pada pukul 4 pagi ambil senjata di stor.

“Kemudian, pukul 7 pagi masuk padang kawad. Berjemur bawah panas terik matahari itu perkara biasa bagi kami,” ujarnya.

PIKA perlu menjalani latihan kawad sebelum dikurniakan watikah pelantikan sebagai Leftenan Muda.

Tambahnya, latihan mereka juga melibatkan senjata api yang sangat berat untuk dibawa lebih-lebih lagi kepada kaum Hawa.

Akuinya, hanya mereka yang cekal sahaja mampu bertahan dan dia bersyukur kepada Ilahi kerana berjaya sampai ke garisan penamat.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, dia yang bakal menyarung topi graduasi pada hujung tahun ini menyatakan kesediaan berkhidmat kepada negara dengan menyertai keluarga ATM satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI