fbpx

M. Nasir pernah bagi lagu, saya terpaksa tolak – Ayai Illusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tidak terbit rasa menyesal, Ayai menganggap perkara tersebut sememangnya bukan rezeki.

PETALING JAYA – Lama menyimpan hasrat untuk berduet dengan Datuk M. Nasir, impian penyanyi Ayai Illusi akhirnya termakbul di pentas All Stars Gegar Vaganza (GV10) minggu keempat, malam tadi.

Akui pemilik nama penuh Zaharuddin Kamaruddin itu, dia mengenali penghibur dan komposer itu hampir 40 tahun namun tidak pernah berkesempatan untuk berpadu suara mahu pun berkongsi pentas dengan sifunya itu.

“Walaupun kenal, saya tidak pernah berpeluang berduet bersama M. Nasir, baik melalui album ataupun sepentas.

“Saya kenal dia pada tahun 1984, pernah kerja studio sama-sama, memang teringin sangat mahu berduet dengan dia namun ketika itu saya sedar taraf saya di mana.

“Namun banyak ilmu yang saya dapat daripada dia, dari sudut nyanyian dan persembahan pentas itu sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, pelantun lagu Segalanya Ku Terima itu sempat mendedahkan album Kerana Kau dendangan kumpulan Alleycats dan ciptaan sepenuhnya M. Nasir pada asalnya ditawarkan kepadanya.

Bagaimanapun, penghibur berusia 61 tahun itu terpaksa menolak kerana tidak bersedia tampil solo selain mahu menjaga hati ahli kumpulannya ketika itu.

Tidak terbit rasa menyesal, Ayai menganggap perkara tersebut sememangnya bukan rezeki.

“M. Nasir pernah datang kepada saya dan nak bagi lagu, katanya material dan konsep semuanya sudah tersedia, tinggal lagi vokal sahaja.

“Saya tolak sebab saya takut, tiada keyakinan untuk muncul solo, saya pun ada hati yang perlu saya jaga ketika itu.

“Kalau buat projek solo, saya bimbang rakan seperjuangan terasa hati, saya tidak mahukan negativiti dalam karier, sebaliknya saya anggap itu bukan rezeki,” ujarnya.

Minggu lalu Ayai yang mendendangkan lagu Donde hampir tersingkir apabila mendapat markah terendah sebanyak 51.7 peratus, namun diumumkan terselamat.

Minggu ini, kedudukan vokalis bersuara serak-serak basah itu mencanak naik hasil keserasian duet dengan M. Nasir menyampaikan Raikan Cinta yang memungut 83.25 peratus, sekali gus meletakkan Ayai pada kedudukan selesa di tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI