fbpx
LAH AHMAD

Lah Ahmad, epitome penghibur bersuara sedap bak mentega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RASA teruja penulis untuk menonton persembahan konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di Panggung Sari, Istana Budaya pada Sabtu lalu sebenarnya sedikit terganggu.

Kehadiran ramai penonton menjelang malam konsert cukup dahsyat sehingga seluruh parkir yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang tidak putus-putus masuk ke pekarangan Istana Budaya.

Hanya selepas lebih sejam berusaha, penulis yang hampir berputus asa nekad untuk meletakkan kereta di bahu jalan, walaupun tahu risiko saman atas kesalahan menghalang lalu lintas.

Namun, rasa itu tidak mematahkan semangat penulis kerana tahu bakal dihiburkan dengan sebuah persembahan memukau oleh penyanyi yang memiliki kelunakan suara dengan gaya tersendiri.

SEGMEN ‘air mata’ menyaksikan Lah mendendangkan lagu Di Pintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah didedikasikan buat Allahyarham nenek kesayangannya yang meninggal dunia pada September lalu.

Benar seperti yang diduga. Masuk ke Panggung Sari sewaktu Lah sedang mendendangkan lagu pertamanya, Selamat Datang Cinta dan Ulang Tahun sebagai pembuka tirai, penulis sekadar berdiri menikmati setiap patah melodi dan lantunan vokal, itu pun sudah cukup padu.

Terima kasih

Lah bijak menarik perhatian penonton apabila memulakan konsertnya dengan membawakan lagu rancak, sekali gus memancing perhatian penonton untuk terus menunggu aksi seterusnya.

Enggan membuatkan penonton terus ‘lemau’, Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad meneruskan kerancakan malam dengan lagu Ini Ceritaku dan Adinda.

“Saya bersyukur dan berterima kasih apabila akhirnya impian untuk menjayakan konsert di pentas berprestij, Istana Budaya akhirnya termakbul.

“Melihat kehadiran peminat yang ramai pada malam ini, membuatkan saya jadi lebih terharu dan bersemangat untuk menghiburkan anda semua,” ujar Lah usai menyampaikan empat buah lagu tanpa henti.

Meneruskan acara, bekas anggota kumpulan VE itu kemudiannya mengajak penonton untuk bernyanyi bersama-sama menerusi dendangan lagu berbahasa Inggeris, Weak dan Glimpse Of Us dan seterusnya mendendangkan lagu ketujuhnya, Sempurna dan Terbaik.

Pentas konsert yang dihiasi paparan skrin LED bersaiz gergasi sebagai latar, terus dihangatkan dengan lagu Jatuh dan Salam, sebelum penyanyi berusia 43 tahun itu tampil menyanyikan lagu Kenapa bersama penyanyi jemputan, Shazzy.

LAH AHMAD bijak membuai emosi peminat dengan kelunakan vokal dan teknik nyanyian yang tidak ada pada penyanyi lelaki lain. – SADDAM YUSOFF

Keriuhan konsert tiba-tiba bertukar hiba saat penyanyi itu menyampaikan lagu Di Pintu Syurga, nyanyian asal, Dayang Nurfaizah.

Sama seperti persembahan sewaktu konsert pertamanya, 25 Years Lah Ahmad di PJ PAC pada tahun lalu, Lah gagal menahan sebak sewaktu mendendangkan lagu tersebut yang ditujukan khas untuk arwah neneknya, Allahyarham Meriam Ahmad yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 102 tahun pada September lalu.

“Maafkan saya kerana gagal mengawal emosi. Saya cuma rindukan Mak Tok (nenek),” ujar Lah.

Enggan hanyut dalam lara, Lah kemudiannya menyampaikan lagu Kerna Sayang yang lazim di bibir penonton.

Meneruskan persembahan dalam bentuk medley, lagu-lagu seperti Izinkan, Just A Friend, Party Like This dan Pop Yeh Yeh membuatkan penonton tidak senang duduk untuk ikut sama bergoyang menikmati persembahannya.

Penampilan istimewa

Saat yang dinantikan, apabila bekas anggota VE itu menjemput rakan seangkatan, Ruffedge yang pernah sama-sama mencipta nama pada awal kemunculan bagi menyampaikan lagu Putus, Bila Rindu dan Khayalan, sekali gus menggamatkan lagi malam yang semakin larut.

Memasuki segmen terakhir, Lah dan Ruffedge membuatkan penonton berteriak sewaktu menyanyikan lagu Belaian Jiwa, apabila turut menampilkan kumpulan asal lagu tersebut Innuendo di atas pentas.

Sekadar membabitkan dua ahli asal berbanding empat anggota yang sepatutnya, kemunculan Innuendo berjaya mengubati kerinduan peminat terhadap kelunakan vokal mereka.

Sebagai penutup persembahan, Lah, Ruffedge dan Innuendo melabuhkan tirai konsert dengan menyanyikan lagu Thank You Everyone, Good Bye dan Ayu, sekali gus membuatkan seisi ruang konsert berdiri, tanda begitu terkesannya hadirin berpeluang menyaksikan perjalanan sebuah konsert bernama Lah Ahmad Jatuh Cinta.

Lah selayaknya diangkat sebagai vokalis nuansa ‘soul’ yang cukup untuk membuatkan penonton tidak keruan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN