PETALING JAYA – Remaja yang suka memuat naik gambar serta video aksi lucah dan seksi di media sosial berisiko tinggi untuk menjadi mangsa rogol.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, walaupun hanya segelintir terlibat, ia tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membarah dalam kalangan masyarakat terutama remaja.
Menurutnya, pihak berkuasa serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu segera memantau atau menyekat kegiatan tersebut.
“Kenal pasti individu terlibat serta ambil tindakan pantas sebelum ia merebak. Kandungan seperti ini boleh mendatangkan ghairah yang mengancam keselamatan mereka sendiri.
“Lebih membimbangkan jika keghairahan itu turut dilampiaskan kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Beliau menegaskan, ibu bapa juga perlu memantau kandungan yang dimuat naik anak-anak di media sosial bagi mengelakkan ia disalah guna.
“Ibu bapa kena lebih prihatin terhadap anak-anak. Jangan biarkan mereka normalisasikan muat naik konten sebegitu kerana boleh mengundang jenayah.
“Jangan lepas tangan dalam mendidik anak-anak yang mudah terdedah dengan media sosial serta gajet,” ujarnya.














