Dalam kemelut meneruskan kelangsungan hidup berdepan dengan cabaran berhubung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sekali gus memberi impak kepada peningkatan kos sara hidup tidak kira buat B40, M40 dan T20, masyarakat kini lupa kepada sumber hasil bumi tanah negara yang begitu lumayan sekali.
Hampir semua bahan mentah utama diimport dan yang berkualiti mampu dieksport untuk mendapatkan hasil tetapi kita mula sedar bahawa masa depan makanan dan minuman untuk generasi masa depan serta juga anak cucu cicit kita bergantung kepada faktor bagaimana kita menguruskan soal keterjaminan makanan pada masa sekarang.
Peralihan kepada pertanian pintar adalah satu penyelesaiannya dan salah satu bidang yang masih belum popular di negara ini adalah teknologi Pengurusan bahan perosak bersepadu (IPM) yang mana para petani di luar negara telah mengamalkannya.
Kedudukan Malaysia dalam bidang pertanian agak mundur berbanding beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Vietnam dan Myanmar meskipun pelbagai inisiatif, pelan dan program yang dijalankan oleh pihak kerajaan terhadap kumpulan sasaran.
Apa yang penting kini adalah meningkatkan kesedaran ilmu dan minat untuk mereka berubah selain disokong oleh dana yang mencukupi untuk beralih kepada pertanian pintar.
Lebih menarik, melalui IPM, sesebuah negara itu mampu melahirkan jutawan dalam bidang pertanian.
Peluang penulis menyertai sebuah persidangan dan pameran berkaitan Perladangan Pintar Asia dan juga Keterjaminan Makanan di Kuala Lumpur baru-baru ini memberi kesedaran betapa rakyat
Malaysia terdedah dengan pelbagai penyakit yang berpunca daripada sumber hasil tani yang padat dengan bahan kimia yang disembur bagi mengawal serangan serangga dan menyuburkannya.
Melalui teknologi IPM, hasil tani lebih subur dan tempoh masa yang boleh menuai tanaman itu juga agak lama berbanding secara konvensional sekali gus cara ini akan menambah hasil petani seterusnya mereka mampu menikmati pendapatan yang lebih tinggi.
Anak muda yang berminat dalam bidang pertanian adalah kumpulan sasaran bagi mengamalkan teknologi IPM ini dan sebuah syarikat tempatan iaitu ABS Greentch Sdn. Bhd. sedang mencari bakat-bakat baharu dalam bidang tersebut.
Kejayaan mereka membangunkan projek tanaman cili di Tanjung Malim, Perak membuktikan IPM mampu mengubah nasib anak muda dan petani sekali gus menjadi seorang usahawan.
Banyak pelabur dari peringkat antarabangsa menunggu masa dan peluang untuk menyertai projek-projek bernilai tinggi ini tetapi terlalu terdorong kepada sektor perkilangan membuatkan pertanian jadi satu kerjaya yang ketinggalan zaman.
Sedangkan jika dibandingkan antara kerjaya doktor dan petani, tanggungjawab petani adalah lebih berat kerana mereka perlu memastikan sumber makanan yang dijual kepada kita setiap hari adalah bersih, sihat dan berkualiti.
















