fbpx

Belanjawan 2024: Sanusi gembira harga lantai padi, kecewa tiada projek KXP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menghargai langkah kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai belian padi serta kadar skim subsidi harga padi menerusi Belanjawan 2024, petang tadi.

Kata beliau, kerajaan negeri juga mengalu-alukan pengumuman untuk kerajaan Persekutuan memulakan projek tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun termasuk di Kota Sarang Semut, dekat sini.

“Terima kasih atas daya usaha menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per tan metrik.

“Bagi pihak kerajaan negeri Kedah, saya turut menghargai langkah kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai belian padi oleh pengilang daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, langkah tersebut diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada semua petani terutama di negeri ini.

Namun begitu, beliau menyatakan rasa terkilan kerana projek-projek berimpak tinggi yang dirancang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang hanya menunggu kelulusan Menteri Pengangkutan langsung tidak disebut dalam Belanjawan itu.

“Di pihak kerajaan negeri, kita sudah menyatakan bahawa apa yang diperlukan hanya kelulusan, bukan pembiayaan kerana projek ini akan dibangunkan secara Private Fund Initiative (PFI).

“Projek KXP adalah keperluan masa hadapan negara dan akan menjadi ‘economic game changer’ yang terpenting,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan menimbangkan semula cadangan itu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengucapkan terima kasih atas cadangan pembangunan blok baharu pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, di sini selain Program Transformasi Bas Henti-Henti di daerah Kota Setar.

“Sebagai Pengerusi PasRelief, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan kerajaan Persekutuan menyumbang dana RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin yang sedang dibantai rejim Zionis Israel,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI