fbpx

Sisi indah bumi Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS bersama suami berpeluang menikmati keindahan Tasik Qargha, Afghanistan.

KUNJUNGAN saya dan suami ke Afghanistan pada Julai lalu adalah atas jemputan media negara tersebut.

Tujuannya adalah untuk memberikan pengalaman kepada orang luar mengenai sisi negara tersebut yang jarang dipaparkan dalam media umum.

Kami menggunakan sempadan Torkham di Pakistan untuk memasuki Afghanistan dan pengalamannya agak mencabar.

Atas dasar keselamatan, kami dinasihatkan supaya menggunakan khidmat kerusi roda bagi memudahkan perjalanan.

Setibanya di Afghanistan, kami disambut dengan mesra oleh seorang lelaki tempatan yang juga ‘tuan rumah’ kepada kami.

Hari berikutnya, kami memakai pakaian tradisi Afghanistan yang dibeli.

Kami sarapan di Sungai Kunar yang terkenal dengan deretan warung menjual ikan bakar segar dan penjual buah.

Selepas itu, kami berjalan-jalan di pasar raya bandar Jalalabad. Saya dapati mereka banyak menjual barangan tempatan berbanding import.

Kemudian, kami bertolak ke ibu kota, Kabul. Pemandangan indah gunung-ganang dapat dilihat sepanjang perjalanan.

Sebelum masuk ke Kabul, kami perlu melalui check point yang dikendalikan oleh pihak Taliban.

Inilah pertama kali kami bersua muka dan berinteraksi dengan Taliban yang berambut panjang dan bersenjata api.

Kami diberi kesempatan untuk bergambar di tepi tasik bersama kereta kebal, senapang dan pistol. Satu pengalaman luar biasa!

Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid atas gunung.

Namun, wanita tidak dibenarkan solat di dalam masjid. Jadi, saya dan suami hanya solat dalam kereta.

Kami sampai di Kabul pada waktu malam, tetapi kota itu masih meriah dengan masyarakatnya yang aktif.

Kami bermalam di kediaman lima tingkat milik tuan rumah sekeluarga.

PENULIS (kanan) bersama suami (dua dari kanan) bergambar bersama pemuda-pemuda Taliban.

Uniknya, saya tidak berjumpa dengan kaum wanita. Ini kerana mengikut adat mereka, kaum wanita tidak akan keluar sekiranya ada tetamu lelaki.

Bagaimanapun, mereka tetap menyediakan kami makan malam berupa kebab, gulai tomato kentang bersama kambing, cili hijau, ‘chai’ susu dan buah tembikai.

Pada keesokannya, saya secara bersendirian dijemput untuk berkenalan dengan kaum wanita keluarga tersebut.

Kemudian, saya dan suami dibawa ke pasar basah di bandar Kabul.

Kebetulan ketika itu musim tembikai, jadi kami sempat merasa buah tersebut. Sungguh manis!

Selepas makan tengah hari, kami dibawa ke sebuah tasik di pinggir pergunungan Kabul untuk bersantai sambil menikmati kopi dan kek versi Afghanistan.

Daerah ini kaya dengan pokok buah-buahan seperti pic, anggur, ceri dan aprikot.

Kami juga berpeluang menghadiri majlis persandingan masyarakat Afghanistan pada hari keempat.

Di Kabul, acara perkahwinan dianjurkan di dewan mewah bak istana.

Hadirin lelaki dan perempuan ditempatkan di dewan berbeza dan segmen persandingan mempelai dibuat di dewan wanita.

Pada keesokannya, kami ke taman negara, Band-e Amir iaitu lokasi tasik berwarna biru yang sungguh memukau.

Perjalanan ke sana dari Kabul memakan masa selama 10 jam dan kami membuat keputusan untuk bermalam di bandar Bamyan.

Keesokan pagi, tuan rumah membawa kami ke satu tempat untuk menyewakan baju tradisi etnik Hazara.

Keindahan tasik berwarna biru yang terletak di Band-e Amir cukup memukau.

Kami juga berkesempatan melawat sisa patung Buddha dari abad keenam yang telah dimusnahkan oleh Taliban pada 2001.

Setiba di Band-e Amir, kami diberi pilihan sama ada mahu berenang, berkhemah atau menaiki paddle boat.

Kami memilih untuk menaiki paddle bot kerana mahu menikmati suasana sekeliling dengan lebih dekat.

Suasana di situ sangat meriah dan keselamatan kawasan tersebut dijaga oleh Taliban yang kaya dengan senyuman.

Beberapa hari seterusnya, kami ‘pusing’ di Mazar Sharif yang terkenal dengan seni bina serupa dengan Uzbekistan.

Selepas itu, kami terus ke sempadan Afganistan dan Uzbekistan, di mana kami menikmati ikan bakar di tepi sungai.

Setelah lima hari di Bamyan dan Mazar Sharif, kami pulang semula ke Kabul. Kami sempat berjalan-jalan di ke ekspo antarabangsa Afganistan yang menjual pelbagai barangan tempatan.

Kami pulang menerusi sempadan sama pada hari seterusnya.

Ternyata, kehidupan di negara terasing ini memiliki sisi berbeza, selain yang dipapar dalam laporan media antarabangsa.

Bagi melihat perjalanan saya yang dianjurkan oleh media Afghanistan ini, pembaca boleh layari YouTube, Sunshine Afghanistan: Malaysian in Afghanistan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI