fbpx
BABAK Taliban menawan pusat media untuk menyampaikan berita kemenangan rejim tersebut. – Mohd. Firdaus Mohd. Johari

K2

Teater ekspresi pelarian Afghanistan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAMPU pentas menghala ke arah tiga orang kanak-kanak lelaki Afghanistan yang sedang meniru aksi perang dengan menggunakan ranting sebagai senapang.

Lagak tiga orang sahabat bernama Edris, Ajmal dan Hemmat itu saling tidak tumpah dengan telatah kanak-kanak lelaki sebaya mereka di seluruh pelusuk dunia.

Di babak berbeza, muncul watak seorang wartawan bernama Abbas dan tunangnya, Nasrin yang sedang menghitung hari pernikahan mereka sambil bertukar kata-kata manis.

Jelas, biarpun kehidupan masyarakat di Afghanistan diselimuti dengan suasana perang sejak Revolusi Saur 1978, namun masyarakatnya masih menjalani hari-hari biasa.

Apabila tiba pada babak bertarikh 15 Ogos 2021, keadaan rakyat negara itu kembali menjadi huru-hara, sejak kali terakhir mengalami situasi sama pada 2001.

Kerajaan pimpinan Presiden, Ashraf Ghani tumbang apabila kota Kabul ditakluki rejim Taliban yang mula mengambil alih tampuk pimpinan.

Pelbagai peraturan baharu dibentangkan kepada rakyat Afghanistan bagi menghakis pengaruh kemodenan di negara yang terletak di antara Asia Tengah dan Asia Selatan itu.

Pelbagai isu dikupas dalam babak demi babak termasuklah peraturan berkenaan pakaian wanita, penutupan institusi pendidikan, peningkatan tahap kemiskinan dan pembunuhan berdasarkan etnik.

Persembahan diakhiri dengan babak menyayat hati yang menyaksikan Abbas dibunuh kejam oleh rejim Taliban setelah dia gagal melarikan diri dengan menggunakan kapal terbang.

Menurut Taliban, Abbas wajar dihukum kerana profesionnya sebagai wartawan merupakan antara dalang di sebalik penyebaran propaganda kerajaan terdahulu yang memburukkan imej rejim tersebut.

Lebih mengganggu emosi, apabila Abbas ditembak oleh Hemmat yang sedang dilatih bapanya untuk menjadi seorang mujahidin (pejuang agama) sejati.

Di akhir pementasan, Hemmat turut membunuh dua rakannya, Edris dan Ajmal setelah dia tidak berpuas hati dengan gurauan dua rakannya itu.

Aksi tembak-menembak yang pada asalnya polos bertukar menjadi tragedi pertumpahan darah itu merupakan simbolik kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat Afghanistan selepas 15 Ogos 2021.

Pementasan teater bertajuk Red Soil of Kabul yang dipentaskan di Damansara Performing Art Centre, Petaling Jaya, Selangor dari 11 Ogos hingga 13 Ogos lalu itu dilakonkan oleh pelarian-pelarian Afghanistan.

Dua gadis memperagakan pakaian tradisional Afghanistan ketika pementasan teater Red Soil of Kabul di Petaling Jaya, Selangor.

Susunan cerita berdurasi 90 minit yang dipersembahkan dalam bahasa Farsi itu merupakan hasil tulisan dan arahan pelarian Afghanistan, Saleh Sepas.

Sari kata dalam bahasa Malaysia dan Inggeris dipaparkan pada skrin besar bagi membantu penonton tempatan memahami mesej dengan lebih baik.

Menurut Saleh, cerita di sebalik watak-watak yang digarapkan dalam pementasannya itu adalah berdasarkan perkongsian kenalannya yang masih berada di Afghanistan.

“Untuk menghasilkan jalan cerita dan skrip ini, saya menemu bual lebih kurang 25 orang di Afghanistan, menonton video orang awam di internet dan membaca berita-berita mengenai perkembangan semasa di sana.

“Saya mengambil masa tiga bulan untuk memastikan kisah mereka dapat diterjemahkan dengan baik untuk penerimaan masyarakat di sini (Malaysia),” katanya.

Saleh, 40, bersama isterinya, Masooma dan tiga anak mereka, meninggalkan Afghanistan setelah menerima ancaman daripada rejim di negaranya ekoran diskriminasi etnik.

Bekas penulis untuk BBC Radio itu mencari perlindungan di Malaysia pada 2016. Dia mengakui, mengalami kemurungan akibat daripada perubahan yang perlu dihadapi mereka sebagai keluarga pelarian.

Enggan terlalu lama bersulam duka, jiwa kreatif bekas penuntut seni halus di Universiti Kabul itu mula mencari ruang untuk berkarya bagi mengekspresikan perasaannya.

Dengan itu, tercetusnya idea untuk menubuhkan Parastoo Theater pada 2017 iaitu satu-satunya teater profesional pelarian yang dibiayai oleh komuniti.

Menggunakan model Theater of the Oppressed, Saleh percaya bahawa teater adalah alat untuk transformasi sosial melalui ekspresi kreatif dan dialog.

Kongsi Saleh, proses menghayati watak melibatkan situasi sebenar perang tidak membangkitkan trauma dalam diri pelarian, sebaliknya memberikan pemerkasaan kepada mereka.

“Ahli-ahli Parastoo Theater bukan sahaja dilatih menjadi watak-watak di atas pentas. Malah, mereka dilatih untuk belajar tentang pelbagai peranan di belakang pentas.

“14 orang pelarian membuat debut mereka di pementasan kali ini, termasuk pemegang watak utama, Abbas,” tuturnya.

Sementara itu, pemilik nama Nemat Ali Moradi atau lebih dikenali sebagai Namatullah berasa bertuah diberi kepercayaan untuk memegang peranan sebagai Abbas.

Tiba sebatang kara di Malaysia pada usia 15 tahun, Nemat mengakui lakonan merupakan salah satu medium untuk dia meluahkan emosi.

“Saya memang minat pada bidang lakonan. Ketika kecil, saya selalu mengajuk lakonan di televisyen bersama ibu. Sudah lima tahun saya terpisah dengan keluarga. Air mata yang mengalir dalam pementasan ini merupakan perasaan sebenar yang tak mampu saya luahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN