fbpx

Jambatan senget Kampung Perigi Acheh akan diruntuhkan – Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fazli (kanan) melihat kerosakan yang berlaku melibatkan struktur jambatan utiliti yang senget di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri membuat keputusan untuk meruntuh terus struktur jambatan utiliti yang senget akibat mendapan tanah di Kampung Perigi Acheh di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja meruntuhkan struktur itu dijangka diselesaikan menjelang akhir bulan ini.

Bagaimanapun, tindakan itu akan menyebabkan kerajaan negeri kerugian lebih RM1 juta melibatkan kos pembinaan asal struktur jambatan utiliti tersebut dan juga kos bagi meruntuhkannya.

“Kita dimaklumkan jambatan utiliti sepanjang 850 meter ini senget akibat mendapan tanah pada pukul 5 pagi, 17 Ogos lalu. Sehubungan itu kita telah ambil keputusan untuk meruntuhkan terus struktur jambatan ini demi tujuan keselamatan.

“Perkara ini juga perlu dilakukan segera kerana jambatan yang senget itu bersebelahan dengan sebuah restoran dan juga jeti nelayan di perkampungan ini. Jadi kita bimbang keselamatan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas melawat jambatan berkenaan, di sini.

Tambah Mohamad Fazli, tujuan asal pembinaan jambatan utiliti tersebut adalah sebagai laluan kepada kabel elektrik dan juga bekalan air dihantar ke kawasan kampung.

“Namun setelah jambatan utiliti itu diruntuhkan, utiliti berkenaan akan dipindahkan ke struktur jambatan utama yang berada di sebelahnya, struktur jambatan utama itu tiada kerosakan.

“Mengikut jadual asal, projek ini dijangka siap menjelang Disember 2024, namun kita berharap kontraktor terlibat akan dapat menyegerakan kerja-kerja pembaikan dan pembinaan lebih awal daripada jadual selepas dihentikan sementara akibat pandemik Covid-19 lalu,” jelasnya.

Sementara itu, penduduk kampung, Zaili Chik, 70, memberitahu, pihaknya berharap projek tersebut dapat disegerakan demi kemudahan keluar masuk penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI