fbpx

K2

Bacaan sujud sahwi bukan daripada Nabi SAW?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BACAAN sujud sahwi adalah sama ketika sujud rukun solat. – Gambar hiasan

Mengenai sumber bacaan sujud sahwi (subhana malayanamu wala yashu), apakah ia tiada asal (yakni bukan bacaan daripada Nabi SAW)?

JAWAPAN: Sebelum membicarakan mengenai bacaan ketika sujud sahwi, eloklah diberi penerangan ringkas mengenai maksud dan perkara yang menyebabkan sujud sahwi.

Menurut kitab Al-Muktamad fil Fiqh asy-Syafie: Al-Sahwu dari sudut bahasa adalah lupa dan alpa akan sesuatu dan yang dimaksudkan dengan sesuatu itu menurut syarak adalah alpa akan sesuatu dalam solat.

Maksudnya: kekurangan yang dilakukan orang yang sedang solat dan sujud pada akhir solat mesti dilakukan disebabkan berlakunya kekurangan itu.

Dalilnya berdasarkan sebuah kisah masyhur dikenali sebagai kisah Zul Yadain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

Nabi SAW mengimamkan solat zuhur atau asar bersama kami.
Kemudian baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi: Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?

Maka, Nabi bersabda: Benarkah apa yang dia katakan? Maka para sahabat pun berkata: Ya. Lalu baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.(Riwayat al-Bukhari, 1169).

Hukumnya sunat dilakukan bila melakukan sebab-sebab yang membawa kepadanya, jika meninggalkannya tidak membatalkan solat. Ia tidak wajib disebabkan tidak disyariatkan kerana meninggalkan perkara wajib.

Terdapat empat perkara yang membawa kepada sujud sahwi iaitu pertama, meninggalkan sunat ab’ad dalam solat.

Al-Tasyahhud Al-Awwal, selawat ke atas Nabi selepas tasyahhud yang pertama, duduk untuk tasyahhud awal.

Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW sesudah tasyahhud akhir dan qunut semasa i’tidal pada rakaat kedua solat fajar. Kedua, syak mengenai bilangan rakaat dalam solat.

Ketiga, melakukan perkara yang dilarang melakukannya (dalam solat) secara lupa, di mana jika dibuat secara sengaja membatalkan solat, contohnya bercakap ketika solat.

Keempat, memindahkan sesuatu perbuatan dalam solat, sama ada rukun atau sunat ab’ad atau surah ke tempat yang bukan tempatnya iaitu ketika berdiri. Contohnya, baca al-Fatihah ketika duduk tasyahhud atau baca doa qunut ketika rukuk.

Sujud sahwi biar sebanyak mana pun kelalaian atau perkara yang kita lupakan adalah dua kali sujud yang dipisahkan dengan duduk antara dua sujud.
Ia seperti mana sujud solat dari sudut perkara wajib dalam sujud dan perkara sunat (dalamnya) seperti meletakkan dahi dan tomakninah (ketenangan).

Sebahagian mereka (ulama) berkata: disunatkan ketika kedua-dua sujud tersebut untuk dibaca: subhana man la yanamu wala yashu, dan ia (ayat ini) sesuai dengan keadaan.

Imam Az-Zarkasyi berkata: “Dilakukan sedemikian (baca ayat tadi) jika tidak sengaja melakukan perkara yang membawa kepada sujud (sahwi), jika sengaja melakukan (perkara-perkara yang membawa kepada sujud sahwi) maka membaca ayat tadi tidak sesuai, bahkan yang sesuai adalah istighfar. Adapun zikir di antara sujud, para ulama tidak berkata apa-apa. Yang zahir (jelas) seperti mana kata-kata al-Azra’i: “Ia seperti zikir antara dua sujud ketika solat”.

Kesimpulannya, bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti ketika sujud rukun solat, manakala ‘subhana man la yanamu wala yashu’ bukanlah hadis yang datang daripada Rasulullah.

Ia bersumberkan hikayat para ulama yang direkodkan oleh Imam Ar-Rafi’ie. Namun begitu, tidak salah untuk membacanya kerana kita dibolehkan mencipta zikir dalam solat selagi mana tidak bertentangan dengan hadis ma’thur Ia sebagaimana disebut oleh Ibnu Hajar al-Asqalani. Mungkin ini rahsia sebahagian ulama mengatakan bacaan ini sesuai dibaca dalam sujud sahwi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI