PETALING JAYA – Seorang wanita memberi kejutan kepada anaknya apabila menyembunyikan kepulangan suaminya membuatkan kanak-kanak tersebut menangis selepas hampir empat bulan tidak berjumpa.
Video mengenai situasi tersebut dikongsi Saqinah Mansor di TikTok selepas suaminya yang sering belayar kerana bekerja di luar pesisir pulang.
Rata-rata netizen sebak apabila si anak terus menjerit keriangan dan melompat keluar dari kereta sebaik ternampak bapanya.
“Dia memang suka surprise bila ayahnya pulang. Tapi kali pertama dia menangis sebaik sahaja bapanya turun dari kapal,” ulasnya.
Menurut Saqinah, anaknya sering bertanya bila bapanya akan pulang dan adakah mempunyai telefon untuk dihubungi.
“Nak pergi sekolah pun lemau saja. Jarang-jarang dia macam ni. Tak tahulah apa yang dia pendam, mungkin terlalu rindu,” katanya lagi.
Orang ramai turut berasa sebak dengan kelakuan anak beranak itu seakan akan mereka tutut merindui ayah mereka.
“Sebab dia dah besar, dia tau makna rindu itu sakit,” komen Kojan.
Seorang personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya turut meninggalkan komen, tak jumpa rindu, dah jumpa semakin rindu.
“Saya pun turut mengalir air mata. Semoga menjadi anak yang soleh kepada kedua ibu-bapa. InsyaAllah,” kata Zaynn. – KOSMO! ONLINE














