BANGI – Biarpun kali pertama melangkah ke pentas final Piala Menteri Pendidikan Tinggi tetapi ia langsung tidak menghadirkan gerun buat ‘pendatang baharu’, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Sebaliknya, kapten UniKL, Muhammad Darwisy Abdullah menegaskan, mereka bersedia memberikan yang terbaik dalam misi menempa sejarah sebagai pasukan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama menjuarai trofi itu.
Sehubungan itu, Darwisy mengakui, dia dan rakan sepasukannya menjadikan aksi final menentang ‘gergasi’ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada final di Stadium UKM, Bangi malam esok sebagai batu loncatan buat karier mereka.
“Kami yakin dan sudah bersedia sebaik mungkin final ini. Kekangan kami sukar nak berlatih sekali sebab kampus berjauhan tetapi kami jadikannya sebagai semangat dan akan tunjuk dalam final ini.
“Kami akan buktikan budak universiti swasta pun boleh main bola. Kunci kejayaan kami adalah semangat juang sebab tak semuanya dari latar belakang sukan, ada yang daripada kejuruteraan dan IT (teknologi maklumat).

“Bila dapat main bila, kami nak buktikan kami boleh menang. Semua pemain bola impikan dapat kontrak profesional, sama juga kami. Jadi saya dan rakan-rakan nak jadikan final ini batu loncatan untuk karier kami,” katanya.
Ketua jurulatih UniKL, Mohd Zaharull Hamdan turut senada dengan pandangan ketua pasukannya itu pada sidang akhbar perlawanan akhir di Stadium UKM hari ini.
Menurutnya, kejayaan menjuarai trofi edisi ke-11 kali ini mampu meningkatkan populari UniKL dalam dunia bola sepak jika dahulu universiti itu cukup terkenal dengan kejayaan melalui sukan hoki padang.
“Kami terima banyak maklum balas positif daripada orang ramai termasuk pemain-pemain yang nak menyambung pengajian di UniKL. Malah pihak pengurusan juga memberikan sokongan yang kuat.
“Ini bakal menjadi sejarah baharu buat kami. Moral pemain juga tinggi tetapi kami merendah diri sebab kami adalah pasukan kerdil jika nak dibandingkan dengan UKM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE








