fbpx
Masjid Madad berjaya menarik minat masyarakat khususnya golongan muda dan kanak-kanak kerana ia aktif menjalankan pelbagai aktiviti bersesuaian dengan trend sekarang.

Projek pusat komuniti Madad pertingkat nilai ekonomi Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebaik melangkah ke sebuah bangunan bersaiz empat segi di tengah kawasan pembinaan pusat komuniti Murtadha Dakwah Centre (Madad) di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani Kedah, mana-mana individu tidak menyangka ia adalah sebuah masjid yang menjadi tumpuan masyarakat sekitar dan juga tumpuan pengunjung dari negeri-negeri lain.

Hasil idea dan air tangan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Murtadha Berhad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof yang menggunakan konsep bina masjid mesra untuk semua orang termasuk kanak-kanak yang bertujuan untuk mengimarahkan rumah Allah itu ternyata berjaya kini.

Jika dilihat daripada mata kasar ia adalah binaan empat segi berkonsepkan minimalis seperti dewan orang ramai tanpa kubah dan tiada memiliki pelbagai seni reka Islam seperti masjid biasa di negara ini.

Masjid Darul Murtadha (Masjid Madad) yang dibina dalam kawasan seluas lebih lima hektar dalam pusat komuniti itu adalah sebahagian daripada pelbagai projek Madad yang melibatkan nilai pembangunan kasar RM35 juta.

Ia bertujuan menjadi pusat sehenti bagi masyarakat Islam selain membangunkan ekosistem bernilai tinggi untuk kawasan persekitarannya.

Konsep masjid tanpa kariah, berfungsi selama 24 jam setiap hari, membangunkan sistem pencahayaan untuk menentukan arah kiblat, tidak memiliki tabung simpanan masjid dan kelebihan lain telah menjadikan ia sebagai projek model masjid yang berjaya selain ruang saf dipenuhi setiap waktu solat dan menjadi produk pelancongan terbaharu bagi daerah Sungai Petani.

“Kami tidak mahu lihat stigma masjid hanya untuk bersolat dan untuk mati (menguruskan jenazah dan solat jenazah) tetapi fungsi masjid ini sangat luas,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut baru-baru ini.

 

KOSMO!: Masjid Madad kini semakin terkenal dalam kalangan masyarakat, boleh ceritakan tentang pembangunan projek ini?
Mohammad Yaakub: Masjid Madad telah berjaya di­siapkan dalam tempoh 13 bulan, ini satu proses pembinaan yang baik, ia bukan soal untuk bina masjid semata-mata tetapi kami mencari jalan untuk mengimarahkan masjid itu sendiri.

Masjid ini bernilai RM7 juta dan ia mula beroperasi sejak bulan April tahun ini. Sekarang masjid ini siap 100 peratus kecuali kerja-kerja infrastruktur di sekeliling masjid ini kerana kebanyakan projek di sini dijalankan secara serentak.

Antaranya adalah projek membina stadium e-sukan dan juga taman kucing.

Apa istimewanya Masjid Madad sehingga tular di media sosial?
Masjid ini dibuka selama 24 jam apatah lagi pada hujung ming­gu, masjid ini menjadi tumpuan orang bukan sahaja dari Kedah tetapi dari negeri-negeri lain.

Pada hari tersebut, kami juga menyediakan makanan secara percuma kepada pengunjung, jadi kami akan sediakan makanan dan minuman percuma untuk 2,000 atau 3,000 orang secara bufet di sini.

Selain itu, terdapat ruang permainan kanak-kanak yang kedap bunyi dengan gelongsor moden agar bunyi bising tidak mengganggu aktiviti ibadah di masjid. Ruang permainan itu dapat dilihat melalui cermin besar bagi membolehkan ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing di situ.

Kami juga ada buat kempen untuk menggalakkan kanak-kanak datang bersolat subuh berjemaah di masjid ini. Mereka akan diberikan RM5 dan sehingga kini hampir 100 kanak-kanak bersolat subuh di sini setiap hari termasuk ada kanak-kanak yang tinggal sejauh 15 kilometer datang bersolat di sini sebelum pergi ke sekolah setiap hari.

Masjid ini juga tidak memiliki akaun simpanan yang mana masjid ini tidak dibenarkan menyimpan duit tabungan untuk dibawa ke bulan depan, kami akan habiskan duit yang ada untuk keperluan dan perbelanjaan jemaah pada bulan tersebut.

Dalam masjid ini ada hotel kapsul, boleh jelaskan?
Di sini juga ada 32 unit kapsul hotel yang memberi kemudahan kepada individu yang dalam perjalanan mahu berehat.

Hotel kapsul yang selesa lengkap dengan penghawa dingin, katil, tilam, pengecas telefon dan kemudahan tandas ditawarkan secara percuma kepada pengunjung tetapi tempahan awal perlu dibuat melalui sistem tempahan yang dibangunkan.

Hotel kapsul ini terbahagi kepada unit perseorangan, kelamin dan wanita.

Boleh jelaskan projek pembangunan pusat komuniti Murtadha Dakwah Centre ?
Kawasan ini melibatkan keluasan lebih daripada lima hektar dan kami bahagikan kepada empat fasa yang mana bagi fasa pertama, kami sudah bangunkan pejabat dan juga pusat tahfiz yang dikenali sebagai Maahad Integrasi Madad (MIM).

Fasa kedua pula melibatkan pembangunan Masjid Madad, rumah kucing dan akademi memanah. Kami sekarang sedang memasuki fasa ketiga yang mana dalam fasa ini kami akan bina stadium e-sukan dan asrama pelajar.

Kami juga akan membangunkan hotel, stesen minyak dan juga restoran untuk fasa sete­rusnya. Di sini juga kami menye­diakan perkhidmatan pe­ngurusan jenazah secara percuma bukan sahaja untuk komuniti setempat tetapi kami mampu memenuhi permintaan golongan tidak berkemampuan di negeri-negeri lain.

Mengenai taman kucing pula, kami telah melabur kira-kira RM500,000 untuk projek ini. Buat masa sekarang, taman ini ada hampir 500 ekor kucing yang mana kebanyakannya adalah kucing jalanan dan ada yang di­serahkan oleh orang ramai.

Taman ini dilengkapi bilik rawatan, bilik pembedahan, bilik kuarantin dan seorang doktor yang datang secara berkala.

Bagaimana progres keseluruhan pembangunan dan berapakah nilai pembangunan kasar projek ini?
Projek ini sedang rancak dibangunkan. Sehingga kini progres mencapai sehingga 60 peratus dan dijangka siap menjelang hujung tahun 2025. Untuk pembangunan fasa ini dan seterus­nya, segala projek sedang diba­ngunkan serentak.

Dari mana datangnya pembiayaan untuk projek besar ini?
Projek ini dibangunkan oleh Yayasan Murtadha Berhad dan kumpulan ini memiliki 14 anak syarikat yang terlibat dalam segmen pertanian, penternakan dan pembinaan yang mana kami memiliki kontraktor sendiri. Kami juga terlibat dalam bidang e-book dan juga pelaburan digital online.

Jadi pendapatan daripada perniagaan teras kami khusus­nya dalam e-book dan pelaburan di­gital serta pembinaan telah ­menyumbang dana untuk pembangunan projek ini.

Bakinya pula adalah daripada sumbangan orang ramai yang mana ia bukan sahaja diperoleh daripada crowd funding khususnya daripada golongan marhain yang mahu menyumbang daripada serendah RM1, puluhan ringgit dan ratusan ringgit kepada projek ini.

Para penyumbang berdana kecil ini mahu melihat hasil daripada sumbangan mereka terhadap projek ini yang akan memberi manfaat kepada ramai orang lagi. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN