fbpx

Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI kini dilengkapi kafe terapeutik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Amin (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus ketika melancarkan Bilik Bacaan 24 Jam PTB dan Beanery Cafe di UPSI, Tanjung Malim baru-baru ini.

TANJUNG MALIM – Pengunjung Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini dilengkapi dengan sebuah kafe dinamakan Beanery Cafe yang menyediakan pelbagai variasi minuman serta makanan kepada orang ramai.

Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad berkata, kafe berkenaan menerima sentuhan khusus daripada perekanya bagi memastikan ia memberi kesan terapeutik kepada para pengunjungnya.

“Konsep terapeutik ini memberi rasa keselesaan dengan suasana yang menenangkan di mana sambil membaca pengunjung boleh menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang disediakan dalam kafe ini.

“Beanery Cafe berkapasiti 140 tempat duduk dilengkapi dengan perabot konsep moden serta susun atur yang lebih santai. Ia dilihat bakal menjadi tumpuan pengunjung kerana persekitaran landskap bercirikan konsep terapi,” katanya di sini hari ini.

Noriha berkata, perpustakaan tidak lagi berfungsi secara konvensional tetapi bergerak sejajar dengan pembangunan semasa yang menjadi norma masyarakat hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang menyempurnakan majlis perasmian kafe tersebut dan Bilik Bacaan 24 Jam di PTB baru-baru ini berkata, beliau sangat teruja dengan usaha PTB dalam melaksanakan transformasi ruang dan penyediaan kafe itu.

“Ini menunjukkan kejituan, kasih sayang dan yang paling penting keikhlasan kita dalam memberikan hasil kerja yang terbaik, bukan hanya dari arahan kerja atau mengejar pencapaian indeks prestasi utama (KPI) semata-mata tetapi ia datang dari kesedaran kita bekerja,” katanya.

Beliau turut memberi pesanan kepada semua pelajar untuk memastikan ruang yang kondusif itu diguna dan dijaga dengan sebaik-baiknya.

Justeru, katanya, melalui penyediaan kafe ini diharap dapat memberi galakan dan menarik lebih ramai generasi muda sedar kepentingan belajar bagi mencorak masa hadapan negara yang cemerlang. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI