fbpx
PARA peniaga di Pasar Tanah Abang, Jakarta, Indonesia sebelum ini merayu supaya pihak pemerintah menutup TikTok Shop. Pengharaman TikTok Shop yang diputuskan pemerintah Indonesia baru-baru ini bagaimanapun meresahkan para pengguna yang selama ini bergantung kepada platform itu untuk mendapatkan barang-barang termasuk barangan keperluan dengan harga termurah apabila tidak dapat lagi berbuat demikian setelah kehilangannya.

Pengharaman TikTok Shop buat peniaga pasar Indonesia lega, pengguna gusar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK sembilan tahun lalu, Sukmamalingga telah menjadi salah seorang penjual di Pasar Tanah Abang yang terletak di Jakarta, Indonesia.

Sebelum ini, dia yang menjual busana Muslim seperti kaftan tidak berhadapan dengan masalah dan pelanggannya berada di seluruh Indonesia.

Namun, ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, jualannya menurun sebanyak 30 peratus.

Ia setelah pihak berkuasa tempatan melaksanakan sekatan aktiviti berskala besar (PSBB) dan menutup pasar itu selama hampir empat bulan.

Pada 2022, PSBB diakhiri dan pasar tekstil terbesar di Asia Tenggara itu kembali dibanjiri oleh pelanggan yang muak kerana terkurung di dalam rumah sejak sekian lama.

Pada ketika itu, jualannya tidak seperti biasa, namun masih dalam keadaan stabil.

Kini, biarpun keadaan sudah kembali pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19, namun jualan Sukmamalingga berkurang sehingga 70 peratus.

“Pelanggan saya dari daerah ini tidak ada yang beli. Padahal saya sering menghantar gambar baju rekaan terbaharu.

“Selain itu, produk saya telah dinaik taraf, tetapi masih tidak dapat menarik pelanggan,” kata Sukmamalingga kepada agensi berita tempatan, BBC Indonesia.

JOKOWI

Dalam sebulan, hanya 10 pelanggan yang datang ke kedainya, biarpun terletak di kawasan yang cukup strategik.

“Sangat sukar dipercayai, masyarakat tidak membeli baju saat menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi begitulah yang terjadi. Bahkan, pasar ini masih sepi ketika ini,” jelasnya.

Peniaga lain di Pasar Tanah Abang yang dikenali sebagai Syamsul, 53, turut menerima nasib sama.

Kedainya yang berada di tingkat lima pasar berkenaan jarang dikunjungi pelanggan.

“Dari pagi hingga sekarang pukul 1 tengah hari masih belum ada yang laku,” ujarnya.

Syamsul yang menjadi penjual di situ sejak 1997 berkata, tingkat lima di pasar itu dikhususkan untuk menjual pakaian Muslimah dengan harga butik.

Bagaimanapun, hanya tinggal enam kedai yang masih bertahan ketika ini.

“Di Pasar Tanah Abang, ada dua kedai seperti ini, tetapi salah satunya terpaksa ditutup kerana tiada pendapatan dan empat pekerjanya juga terpaksa diberhentikan. Jualan saya juga merosot sebanyak 95 peratus.

“Ada satu ketika, saya tidak mendapat sebarang hasil. Kini, terdapat sekurang-kurangnya satu atau dua pembeli seminggu,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui, tidak tahu berapa lama lagi mampu bertahan dengan situasi tersebut.

Apa yang pasti, jika keadaan tidak berubah, dia akan pulang ke kampung halamannya di Sumatera Barat.

Sebilangan peniaga di Indonesia bersetuju bahawa punca kepada masalah dihadapi Sukmamalingga dan Syamsul adalah disebabkan wujudnya kedai dalam talian atau e-dagang.

Bank Indonesia menyatakan bahawa nilai transaksi e-dagang di negara itu meningkat setiap tahun.

Pada 2018, angka tersebut mencecah 105.6 trilion rupiah (RM31 bilion) dan meningkat dua kali ganda pada 2020 kepada 266.3 trilion rupiah (RM81 bilion).

Pada 2021, jumlah urus niaga meningkat kepada 401 trilion rupiah (RM121 bilion) dan diunjurkan mencecah 689 trilion rupiah (RM210 bilion) pada 2024.

Rentetan itu, pemerintah Indonesia telah mengambil keputusan untuk mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial baru-baru ini.

Berdasarkan data Similarweb, aktiviti jual beli produk dalam talian melalui media sosial di Indonesia didominasi oleh TikTok Shop, diikuti WhatsApp, Facebook Shop, Instagram Shopping, Telegram dan Line Shopping.

Pemerintah Indonesia berkata, langkah itu berkuat kuasa serta-merta bagi melindungi peniaga luar talian dan pasaran.

Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan berkata, pelaksanaan peraturan itu bertujuan memastikan persaingan perniagaan yang adil dan saksama.

SEORANG penjual di TikTok Shop melakukan promosi harga runtuh secara langsung di platform berkenaan. – Gambar hiasan

Menurutnya, pemerintah hanya membenarkan media sosial digunakan bagi memudahkan promosi perniagaan, tetapi bukan untuk transaksi jualan.

“Perdagangan sosial hanya boleh memudahkan promosi barangan atau mengiklankan perkhidmatan sama seperti di televisyen, tetapi tiada transaksi langsung.

“Platform digital kini tidak boleh menjual dan menerima wang. Media sosial dan e-dagang mempunyai fungsi berbeza.

“Namun, jika ingin menjadi perdagangan sosial, platform ini mesti mempunyai entiti perniagaannya sendiri,” katanya.

Ujarnya, pola perdagangan di Indonesia harus berjalan secara adil, bukan perdagangan bebas sehingga yang kuat semakin besar dan mereka yang lemah beransur mati.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Jokowi berkata, kemajuan teknologi sangat pesat, namun pihaknya perlu mempunyai peraturan bagi mengurangkan dampak negatif.

“Kalau tidak bersiap sedia, teknologi akan menjejaskan pasar tradisional kita seperti kes TikTok Shop,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa penjual kedai fizikal di Indonesia menyambut baik langkah berkenaan.

Penjual barangan tekstil, Iyal Suryadi memberitahu agensi berita CNA bahawa penjualan dalam talian telah mengurangkan pendapatannya.

“Di pasaran tempatan, kami menjual satu atau dua helai kain dalam seminggu.

“Jika berterusan begini, jangan fikir untuk mengembangkan perniagaan, jika mampu bertahan sudah cukup bagus.

“Harga barangan yang dijual di TikTok Shop tidak masuk akal,” katanya.

Tambahnya, mereka menjual barangan pada harga kilang terus kepada pengguna, bukan kepada pengedar atau penjual semula.

Iyal menjelaskan, memang benar kita sudah memasuki pasaran bebas, tetapi jangan terlalu jauh.

“Pemerintah mesti bertindak jika tidak mahu ekonomi negara musnah.

“Sebabnya, wang di negara ini berkisar kepada orang kecil seperti kami, bukan orang kaya,” jelasnya.

Sementara itu, keputusan dilaksanakan oleh pemerintah Indonesia itu turut memberi tempias kepada pengguna yang sebelum ini menikmati harga lebih murah.

Sejak dua bulan lalu, pekerja kilang iaitu Subairi telah bergantung kepada TikTok Shop untuk membeli keperluan hariannya.

Dia membeli barangan keperluan seperti susu formula, minyak masak dan lain-lain lagi melalui platform itu apabila hari gajinya.

Bagaimanapun, pengumuman pengharaman penjualan langsung barangan di platform tersebut menyebabkan Subairi bimbang akan kehilangan alternatif membeli-belah yang lebih murah.

“Jika TikTok Shop diharamkan, saya sukar untuk mencari barangan yang murah seperti dijual di platform ini.

“Di platform e-dagang lain, bayaran perkhidmatan hampir 10,000 rupiah (RM3), tetapi di TikTok Shop, ia adalah percuma tanpa syarat,” jelasnya.

Tambahnya, di TikTok Shop ada ‘flash sale’ dan promosi pada hari gaji, sekali gus menjadikan harga barangan di platform itu lebih murah.

Subairi juga telah membandingkan harga barangan merentas pelbagai platform e-dagang, dia mendapati bahawa harga barang di TikTok Shop adalah paling murah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN