fbpx

Enggan bayar sewa rumah, penyanyi 1990-an berdegil, tunjuk parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pemilik kediaman yang enggan wajahnya didedahkan telah membuat beberapa laporan polis berhubung kedegilan seorang penyanyi yang enggan keluar dari rumah sewanya.

PETALING JAYA – Sudahlah enggan bayar sewa rumah berjumlah RM3,600, seorang penyanyi era 1990-an pernah menunjukkan parang ketika pemilik kediaman yang didudukinya tampil untuk berbincang pada 18 September lalu.

Pemilik unit kediaman yang mahu dikenali sebagai Liza Mohamad, 46, berkata dia bersama beberapa ahli keluarga datang secara baik, namun terkejut apabila artis berkenaan membuka pintu sambil memegang sebilah parang.

“Selepas panggilan dan mesej tidak berjawab, isterinya sekat nombor saya dan permintaan mengosongkan rumah tidak diendahkan kami tiada pilihan lain, perlu bersemuka dengannya.

“Kami terkejut dan bertanya kenapa parang dan dia bagi alasan takut kepada pencuri sedangkan dia tahu saya beri salam tapi dia tak letakkan semula parang itu ke dalam rumah sepanjang setengah jam kami bercakap.

“Perbincangan berlangsung pula di luar rumah. Sesekali dia macam menetak jaring besi yang memisahkan kami. Memang situasi pada waktu itu membimbangkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Susulan tindakan individu tersebut, wanita terbabit menyarakan telah membuat laporan polis laporan polis di Balai Polis Daerah Wangsa Maju, Setapak, pada keesokkan harinya.

Sekaligus, bermula dari Mei 2 lalu sebanyak empat laporan polis sudah dibuat termasuk meminta penyanyi berkenaan mengosongkan rumah selepas turut culas menjelaskan bil elektrik berjumlah RM6,770.

Dedah pekerja swasta itu lagi, tahun terawal iaitu bermula pada 2019 sewa kediamannya di Setapak Indah, di sini dibiayai Pusat Pengutan Zakat (PPZ) menerusi kontrak dengan ejen, dan selepas itu dibayar pula sebuah agensi lain untuk tahun 2021.

Namun penyanyi terbabit dan isteri tidak mengisi borang bantuan seperti dipinta pihak berkaitan dengan memberikan alasan enggan lagi bergantung kepada agensi terbabit.

Katanya, situasi juga semakin sulit apabila lelaki itu tetap berdegil selepas perjanjian untuk melunaskan bayaran sewa dari Jun sehingga ke hari ini tidak dipenuhi, apatah lagi selepas kontrak sewaan tamat pada September 2023.

“Setakat ini memang banyak masa dan wang terbuang kerana kedegilan penyewa. Saya pun ada anak-anak dan perlu jelaskan pinjaman bulanan kepada bank.

“Jangan aniaya saya sebab dari awal dulu saya dah minta secara baik. Dulu ada orang lain nak sewa, tentu saya kena minta dia kosongkan rumah sebab tiada lagi cara lain untuk saya dapatkan hak serta lunaskan hutang kepada bank.

“Andai masih berdegil saya memang perlu dapatkan perintah mahkamah, tetapi itu juga memerlukan belanja yang besar sedangkan ekonomi saya pun tak stabil,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia terkejut apabila artis berkenaan turut membuat permintaan tidak masuk akal dengan memintanya mencari kediaman lain jika mahu mereka berpindah.

“Permintaan seperti itu mana mungkin saya dapat tunaikan. Jadi saya harap ada pihak dapat bantu keluarga kami supaya dia dapat mengosongkan aset peninggalan arwah suami saya ini dengan kadar segera,” luahnya.

Semalam, sebuah portal melaporkan seorang wanita membuat laporan polis terhadap penyanyi lelaki popular era 90an yang didakwa gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM3,000 sejak Jun lalu.

Malah, notis mengosongkan rumah itu difahamkan sudah diajukan kepada isteri artis terbabit, namun tetap tidak diendahkan apabila pasangan tersebut masih berdegil.
-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI