fbpx

Kami menangis tengok harga padi turun – petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pesawah melakukan demonstrasi membantah harga semasa belian padi yang terlalu rendah dan menggesa pihak yang berkaitan menaikkan harga padi di Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Sekumpulan petani di Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus di sini berdemonstrasi secara aman membantah penurunan harga belian padi daripada RM1,700 per tan kepada RM1,250 sejak 3 Oktober lepas.

Petani berkenaan mendakwa penurunan harga yang ditetapkan pengilang itu juga lebih rendah daripada harga belian pada musim terdahulu iaitu RM1,280 per tan.

Menurut salah seorang petani tersebut, Salleh Ali, 60, penurunan harga tersebut melampau dan kembali menghimpit petani yang terdiri daripada golongan pendapatan rendah.

“Kami percaya ini terjadi kerana agensi yang terlibat lepas tangan dan membiarkan harga padi ditentukan oleh pengilang. Petani kini jadi orang yang tidak didendang atau diambil peduli oleh kerajaan.

“Dengan harga RM1,250 yang ditetapkan oleh pengilang ini, kami hanya memperoleh keuntungan cuma sekitar RM30 setiap relung,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas demonstrasi berkenaan yang disertai oleh 30 petani di kampung berkenaan.

Sehubungan dengan itu kata Salleh yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Sungai, pihaknya berharap kerajaan campur tangan dalam isu tersebut bagi meringankan beban petani.

“Kami berharap seandainya harga berkenaan tidak dapat dikembalikan kepada RM1,700 cukuplah dengan RM1,500 per tan barulah petani dapat bernafas,” ujarnya.

Lim Han Bon, 38, pula memberitahu, keputusan pengilang menurunkan harga belian padi itu tidak adil memandangkan lebih 50 peratus petani belum menuai hasil padi masing-masing.

“Cuma 50 petani sahaja sempat merasa harga padi dijual RM1,700 per tan. Cuma dua minggu sahaja naik selepas itu terus turun.

“Kami ini menangis pun ada tengok harga turun. Kos buat bendang sekarang semakin tinggi kalau RM1,700 itu selesalah sikit kami semua. Kalau RM1,250 itu memang teruk. Kalau boleh kami semua nak lari saja tak mahu buat bendang tetapi inilah saja kerja kami mampu buat,” katanya.

Mohd Sobri Osman, 60, menambah, penurunan harga belian padi itu hanya akan menjerumus para petani kepada kancah kemiskinan yang berterusan.

“Kos mengerjakan bendang termasuk menuai kini semua sudah naik. Harga mesin padi dan traktor pun sudah naik RM10 serelung apabila dengar harga padi naik tetapi kini harga padi turun semula.

“Jadi kos ini akan terus menghimpit kami petani. Kita sangat berharap kerajaan dan agensi terlibat serius menangani perkara ini. Harga RM1,250 ini tak akan merubah hidup petani. Di Perak pun pengilang membeli dengan harga RM1,400 hingga RM1500 per tan, takkan kami perlu jual di sana,” soalnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI