PETALING JAYA – Individu yang mempunyai gaji di bawah RM1,500 perlu menangguhkan dahulu hasrat untuk berumah tangga, sebaliknya fokus kepada memperbaiki ekonomi diri.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pendapatan melebihi kadar kemiskinan nasional menjadi penentu kepada kestabilan rumah tangga dan mengelak hidup merana.
Katanya, kadar kemiskinan di Malaysia diukur pada tahap pendapatan RM2,208 dan akan tergolong kepada kumpulan kurang mampu jika bawah daripada itu.
“Jika bujang pun tidak cukup dengan gaji RM1,500, apatah lagi jika sudah berkahwin sebab ia melibatkan tanggungan dan komitmen.
“Kalau makan menu rahmah sekalipun, mungkin boleh bertahan sedikit tetapi bagaimana dengan keperluan lain. Oleh itu, tidak dapat tidak kena perbaiki ekonomi diri dan keluarga,” katanya.
Menurut Barjoyai, hasrat wanita yang memilih calon suami stabil dan gaji tinggi tidak salah dan relevan dengan situasi semasa.
“Jika berkahwin semata-mata mahu perlindungan, baik tidak patut diteruskan. Tetapi jika mereka tahu mengurus kewangan dan disokong dengan latar belakang keluarga kaya, ia tidak jadi masalah,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abd. Latiff pula berkata, mengahwini pasangan dengan gaji RM1,500 ketika ini tidak lagi relevan.
“Jika individu tersebut berjaya meraih pendapatan RM2,500 sekalipun, dia masih kekal di dalam golongan yang tidak mampu.
“Mereka juga perlu mengambil kira kadar gaji, kos tempat tinggal, perjalanan, utiliti, makan minum, insuran dan juga belanja harian,” katanya.
Menurut Ahmed Razman, selain itu seseorang individu perlu mengenal pasti faktor yang mempengaruhi perbelanjaan mereka.














