fbpx

Johor bantu syarikat EV perbanyak stesen pengecas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ melakukan pengecasan pada kereta elektrik Tesla sempena Majlis Pelancaran Tesla Supercharger di Sunway Big Box Retail Park, Iskandar Puteri hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri komited membantu pelbagai syarikat yang terlibat dengan kenderaan elektrik (EV) untuk memperbanyakkan stesen pengecas kenderaan sedemikian di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, usaha itu selari dengan hasrat pihaknya membangunkan teknologi hijau menuju misi Maju Johor 2030.

Sehubungan itu katanya, pihaknya berterima kasih kepada syarikat Tesla kerana memilih Johor sebagai destinasi kedua stesen ‘super charger’ mereka di negara ini.

“Kami difahamkan, pengguna kenderaan Tesla di Johor adalah kedua teramai di Malaysia selepas Kuala Lumpur. Itu antara faktor mengapa mereka memilih membuka stesen pengecas ini di sini.

“Sehubungan itu, saya percaya usaha ini akan meningkatkan lagi kunjungan pemilik kenderaan Tesla termasuk dari Singapura untuk lebih kerap berkunjung ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Stesen Super Charger Tesla di pusat beli belah Sunway Bigbox, di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

Tambah Ting Han, selain Tesla, terdapat beberapa syarikat lain termasuk milikan swasta yang sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi mewujudkan stesen pengecas EV di lokasi bersesuaian.

“Indikator utama sesebuah stesen pengecas EV dibina adalah bergantung kepada data pengguna mereka, dimana lokasi kegemaran mereka dan apakah laluan digunakan, itu akan menjadi faktor penentu lokasi stesen diwujudkan,” jelasnya.

Stesen pengecas ‘super charger’ Tesla di Iskandar Puteri ini merupakan stesen kedua seumpamanya yang dibuka selepas lokasi pertama dibuka Ogos lalu di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Pemilihan lokasi tersebut dibuat dengan mengambil kira ia merupakan kawasan strategik yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, sekali gus turut memudahkan pengguna Tesla dari republik berkenaan apabila mereka mengunjung negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI