fbpx

Insiden Siam Paragon: ‘Syukur saya tidak ikut gerak hati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis melakukan rondaan di dalam pusat beli-belah Siam Paragon sehari selepas insiden tembakan rambang semalam. – AFP/Lillian SUWANRUMPHA

PETALING JAYA – Seorang rak­yat Malaysia terselamat daripada risiko tertembak selepas membatalkan keputusan saat akhir tidak berkunjung ke pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok iaitu lokasi kejadian tembakan yang meragut dua nyawa kelmarin.

Berkongsi perkara itu di akaun TikToknya, Sofea Rozaidi berkata, sebelum itu dia keluar dari hotel untuk mencari makanan pada pukul 4 petang waktu tempatan.

“Ketika itu cuaca hujan dan pemilik hotel beri payung. Tidak lama kemudian, dia menghantar mesej jangan pergi ke central point. Saya tertanya-tanya juga sebab apa (larang).

“Dia beritahu ada sesuatu (kejadian) yang buruk berlaku. Tidak lama selepas itu, dia memaklumkan berlaku kejadian tembakan rambang dan yang menembak itu (suspek) adalah remaja berusia 14 tahun,” katanya menerusi video dimuat naik kelmarin.

Sofea memberitahu, sewaktu berada di dalam tren yang turut berhenti di stesen di lokasi kejadian, dia berasa berbelah bahagi sama ada mahu turun atau meneruskan perjalanan pulang ke hotel.

“Saya buat keputusan pulang ke hotel, kalau pergi ke Siam Paragon, mungkin saya berada di sana semasa kejadian berdarah tersebut.

“Saya bersyukur kerana mengikut gerak hati untuk pulang terus ke hotel. Saya tanya pemilik hotel sama ada ini (kejadian) sudah biasa berlaku di sini dan jawapannya tidak. Saya tidak mahu terlalu memikirkan kejadian itu kerana baru tiba di sini (Bangkok),” katanya.

Menurut Sofea, dia pernah ke Bangkok sebelum ini, namun ini pertama kali dia ‘terbang’ ke negara tersebut secara solo.

“Saya menggeletar sebab ada serangan panik. Saya tidak menonton video itu (kejadian). Saya hanya baca tajuk dan berita. Kalau saya tengok (video), saya tak boleh menerima kejadian tersebut,” katanya.

Sofea memaklumkan, hotel lokasi dia menginap terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari tempat kejadian.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan rambang di Siam Paragon kelmarin.

“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden itu. Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok,” kata Wisma Putra semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI