Sasaran Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mencapai 50 peratus umat Islam di negara ini memiliki akaun Tabung Haji pada akhir 2024 rasanya bukanlah satu yang mustahil untuk dicapai.
Ketika ini pun, 45 peratus daripada 18 juta umat Islam di negara ini sudah memiliki akaun Tabung Haji dengan tabungan keseluruhan melebihi RM89 bilion. Apa yang paling penting ialah, pastikan TH terus diyakini, di samping pada masa yang sama pendeposit akan mendapat pulangan atau dividen yang baik setiap tahun.
Jujurnya, kadar dividen TH yang agak rendah sekitar 3 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini mungkin akan sedikit merencatkan usaha untuk mencapai sasaran 50 peratus pendeposit menjelang akhir 2024 nanti. Cuma bersediakah TH untuk kembali memberi kadar dividen yang lebih tinggi melebihi 5 peratus setiap tahun seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini?
Rasanya, masih ramai dalam kalangan umat Islam di luar sana yang belum menjadi pendeposit TH memiliki banyak wang. Buktinya, sering kita dengar laporan mengenai ramai dalam kalangan masyarakat kita yang kerugian ratusan ribu ringgit kerana terpedaya dan tertipu dengan pelaburan-pelaburan skim cepat kaya.
Bayangkan jika kita berjaya menarik dana mereka ini untuk dilaburkan dalam Tabung Haji. Hanya ada satu jalan untuk menarik mereka, tawarkan kadar dividen yang munasabah iaitu melebihi 5 peratus.
Jika itu berjaya TH lakukan, ia sebenarnya akan mendorong bukan sahaja dalam kalangan mereka yang berwang dan golongan yang kurang berduit untuk turut menabung dan membuka akaun di Tabung Haji, malah pendeposit sedia ada berkemungkinan akan turut menambah pelaburan mereka.
Dengan jumlah dana yang besar, kelak TH bukan hanya sekadar akan menjadi satu badan untuk menguruskan urusan haji untuk rakyat di negara ini, malah akan turut berpotensi menjadi gergasi pelaburan yang disegani.
Selain itu, pemberian dividen yang lebih baik juga mungkin boleh membantu TH untuk mengurangkan jumlah pemberian subsidi haji pada masa depan.
Walaupun pemberian subsidi haji mungkin tidak boleh dihapuskan seratus peratus khususnya kepada golongan B40 atau M40, namun jumlah subsidi yang diberi mungkin boleh dikurangkan atau diberi pada kadar yang munasabah kerana perolehan dividen yang tinggi akan membantu pendeposit mencukupkan kos haji mereka sementara menunggu giliran menunaikan haji.
Dengan kos haji muasasah yang kini mencecah RM30,850 seorang, rasanya agak mustahil untuk TH berterus-terusan mengenakan caj haji hanya RM10,980 kepada B40 dan RM14,870 kepada M40.
Kesimpulannya, pemberian dividen tinggi bukan sahaja mampu menarik lebih ramai membuka akaun, malah mempercepatkan mereka mencukupkan wang untuk menunaikan haji selain mampu menarik umat Islam membuat pelaburan di tempat yang betul serta menguntungkan daripada terjebak dengan penipuan skim pelaburan cepat kaya.














