fbpx

Tanam 100 pokok di pusat konservasi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada warga kerja projek ECRL yang terlibat dalam program penanaman pokok di MTCC, Temerloh.

KIRA-KIRA 100 pokok telah ditanam di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), Temerloh, Pahang oleh projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Aktiviti tanggungjawab sosial korporat itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memupuk kesedaran terhadap konservasi Harimau Malaya.

Usaha yang dijalankan menerusi ‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’ itu melibatkan seramai 100 orang warga kerja projek ECRL.

Mereka telah menjalankan aktiviti penanaman pokok bagi memperkayakan kurungan (paddock) Harimau Malaya di MTCC.

Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, program itu julung kali diadakan melibatkan tiga fasa.

“Fasa pertama merangkumi rawatan tanah, pengkapuran dan pembajaan, manakala fasa kedua membabitkan penanaman pokok renek, pokok teduhan serta pokok buah-buahan.

“Fasa ketiga bertumpu kepada penjagaan, pemangkasan dan pembajaan pokok-pokok di kurungan MTCC,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Dianggarkan jumlah Harimau Malaya yang hidup liar di hutan negara ini adalah sekitar 150 ekor.

Katanya, MRL selaku pemilik projek ECRL dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) sebagai kontraktor utama telah memberi sumbangan dalam menjayakan program ini.

Tambahnya, program itu dijangka membantu melengkapkan perancangan jangka panjang Jabatan Perhilitan dan MTCC dalam melindungi populasi Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni).

Kongsinya, projek ECRL berbesar hati dapat menyumbang dan memainkan peranan aktif menerusi program itu dalam usaha membangkitkan kesedaran populasi dan pemuliharaan Harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan di Malaysia.

“Projek ECRL berharap sumbangan yang diberikan ini dapat membantu mengukuhkan habitat yang sesuai, menjamin ketersediaan makanan serta me­ningkatkan kadar pembiakan Harimau Malaya.

“Projek ECRL optimis dalam meneruskan langkah-langkah proaktif bagi membantu usaha kerajaan memacu konservasi Harimau Malaya.

“Usaha ini turut meliputi peningkatan populasi Harimau Malaya yang kini dianggarkan berjumlah sekitar 150 ekor sahaja di dalam hutan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim memberitahu, pengukuhan kerjasama strategik antara Perhilitan, MRL dan CCC-ECRL dalam pemuliharaan hidupan liar seharusnya menjadi pemangkin kepada penglibatan kolektif semua pihak terma­suk korporat serta NGO.

“Perhilitan berharap semua pihak meningkatkan amalan kelestarian dan memperbanyakkan usaha dalam memulihara biodiversiti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi, berkata, sejak 2018, pihaknya telah bekerjasama dengan pihak Perhilitan untuk memantau haiwan liar dan habitat mereka di sepanjang laluan ECRL sejajar dengan Pelan Pengurusan Hidupan Liar.

“Kami berharap aktiviti ini dapat melindungi alam sekitar semasa proses pembinaan ECRL. Kami percaya bahawa pembangunan dan pemuliharaan haiwan liar perlu berjalan seiring.

“Kami merancang membina lebih 20 lintasan hidupan liar pelbagai saiz di sepanjang laluan ini untuk memastikan haiwan liar dapat melintas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI