fbpx

SPRM siasat 776 kes termasuk berprofil tinggi dalam 8 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan prestasi memberangsangkan dengan tindakan proaktif dalam melaksanakan pelbagai operasi, tangkapan dan pertuduhan di mahkamah.

Ia termasuk kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam dengan sebanyak 776 kertas siasatandibuka dan 869 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebanyak 326 pertuduhan bagi pelbagai kesalahan dipertuduhkan di mahkamah.

“Statistik pelucuthakan dan pemulihan aset menunjukkan rekod sangat cemerlang pada tahun ini dengan nilai pelucuthakan harta sebanyak RM12,891,268.66 dan kompaun berjumlah RM4,003,000.

“Jika dikira sejak 2018 hingga sekarang, jumlah keseluruhan pelucuthakan harta dan penalti yang direkodkan SPRM berjumlah lebih RM29 bilion,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-56 di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi.

Azam berkata, strategi SPRM adalah mengurangkan ketirisan di tiga sektor rasuah iaitu rasuah di sektor penguatkuasaan, perolehan dan ‘grand corruption’.

Jelasnya, perubahan kaedah penyiasatan kepada ‘intelligence base investigation’ telah membuahkan hasil yang mana tidak lagi bersandarkan kepada kaedah ‘reactive’ semata-mata.

“Perubahan kepada landskap politik, ekonomi dan sosio budaya masyarakat harus menjadi keprihatinan warga SPRM dan tidak boleh ditakuk lama dengan mendabik dada bahawa kononnya kita adalah ‘the best’ ataupun kaedah kita ini tiada perlu perubahan.

“Orang lama tidak boleh mengatakan cara lama berkesan dan orang baharu pula perlu mempelajari orang lama dan meneroka kepada perubahan,” jelasnya.

Ke arah membanteras ketirisan, Azam berkata, SPRM akan memfokuskan kes-kes skala besar dan berkepentingan awam.

Jelasnya, penjenayah-penjenayah mencuri atau menghilangkan hasil kerajaan, mereka yang ada kuasa menyalahgunakan kuasa perlu dihukum sehinggakan mereka dibangkrapkan supaya harta negara dikembalikan.

“Sehubungan dengan itu, kaedah penyiasatan yang berbentuk ‘Financial crime’ perlu dipergiatkan dan pegawai-pegawai SPRM perlu memahami undang-undang jenayah dan juga kaedah penyiasatan yang lebih bersistematik.

“Untuk itu, saya telah mengarahkan agar Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Siasatan dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) berganding bahu melatih pegawai-pegawai SPRM dengan kaedah-kaedah baharu ini, tanpa melupakan kaedah-kaedah lama yang masih relevan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI