fbpx

Menerokai keseronokan dunia sains kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para peserta dan fasilitator program KIDSCIENCE di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur bergambar kenangan selepas program berakhir.

SAINS kesihatan merupakan satu bidang yang menarik untuk dipelajari kerana seseorang itu berpeluang mengetahui pelbagai perkara tentang kesihatan.

Melalui bidang ini, kita juga boleh mengetahui persoalan tentang kumpulan darah manusia yang ditentukan dengan kehadiran atau ketiadaan protein pada sel darah merah.

Selain itu, kita juga boleh melihat bagaimana rupa bentuk sel darah manusia dan hidupan seni di bawah pembesaran mikroskop sebanyak 100 kali.

Bagi menarik minat generasi muda untuk mendalami bidang itu, Central Research Laboratories (CRL), Fakulti Perubatan di Universiti Malaya (UM), telah mengadakan satu program KIDSCIENCE baru-baru ini.

Juruteknologi Makmal Perubatan, Fakulti Perubatan, UM, Nosrihah Ismail berkata, program tersebut adalah satu inisiatif CRL dalam memupuk minat kanak-kanak sekolah kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) khususnya.

Menurutnya, ia juga merupakan satu platform pemindahan ilmu dan kepakaran staf UM kepada kanak kanak sekolah sebagai sebahagian khidmat sosial dalam membentuk komuniti cintakan STEM.

“Peserta program ini terdiri daripada 25 kanak-kanak sekolah dalam lingkungan 7 hingga 10 tahun dan merupakan program tahunan yang telah masuk tahun kedua pada tahun ini.

“Program ini menyajikan aktiviti berbentuk ‘hands-on’ di mana semua kanak kanak diberi peluang menyelidiki spesimen dan melakukan aktiviti bertemakan sains kesihatan.

“Antara aktiviti yang dilakukan adalah seperti pengenalpastian patogen dan bakteria menggunakan mikroskop cahaya, ujian penentuan kumpulan darah dan ujian kehadiran protein dalam makanan,” katanya.

Fasilitator menggunakan lampu UV bagi memastikan keberkesanan cucian tangan.

Tambahnya, setiap peserta diminta menyudahkan tugasan ringkas dengan melakukan eksperimen yang diminta oleh fasilitator.

Fasilitator-fasilitator terlibat merupakan staf makmal dan pegawai sains yang masing-masing mempunyai kemahiran serta pengalaman dalam bidang sains kesihatan.

Dalam pada itu, Nosrihah berkata, peserta juga diberi peluang menjalankan eksperimen kepekatan cecair dan juga mengendali peralatan asas makmal penyelidikan menggunakan alat penimbang saintifik.

“Aktiviti-aktiviti yang dimuatkan dalam program ini mampu mencetus sifat ingin tahu dan mendorong kanak kanak mencintai dan meneroka sains terutamanya sains kesihatan.

“Kita juga mengaitkannya dengan pandemik yang melanda dunia pada tahun 2020 di mana kanak kanak didedahkan teknik cucian tangan yang berkesan dan cara mencegah penularan wabak serupa,” jelasnya.

Tambahnya, eksperimen merupakan asas penyelidikan yang dijalankan di Fakulti Perubatan, namun direkayasa menjadi menarik, mudah difahami dan boleh dicerna setaraf kefahaman kanak kanak sekolah.

Sementara itu, Nosrihah menjelaskan, program yang dilaksanakan itu selaras dengan ucapan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Prof. Dr. Shaliza

Ibrahim dalam ucapan perasmiannya di dalam FOM Research Carnival yang menggesa diperbanyakkan program pemindahan ilmu kepada komuniti.

Ternyata menganjurkan program bagi memupuk minat kepada STEM sejak alam persekolahan adalah langkah terbaik membina masyarakat celik sains dan teknologi terutama sains kesihatan pada masa hadapan.

Diharap agar program sebegini mampu membentuk ahli ahli masyarakat yang cintakan ilmu sains dan cakna dengan isu kesihatan sejagat.

Rata-rata kanak kanak juga dilihat sangat teruja mengendalikan peralatan makmal serta membuat eksperimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI