fbpx

MBSB muktamadkan pemerolehan MIDF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBSB kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menawarkan perkhidmatan perbankan lebih baik kepada pelanggan.

PETALING JAYA – Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mengumumkan pihaknya telah menyelesaikan pemerolehan keseluruhan kepentingan ekuiti Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pertimbangan pembelian berjumlah RM1.01 bilion itu di­selesaikan dengan terbitan 1.05 bilion saham MBSB baharu pada RM0.9652 sesaham (Saham Pertimbangan Akhir), yang telah diperuntukkan kepada PNB pada 2 Oktober 2023.

Melalui penggabungan tersebut, MIDF kini merupakan anak syarikat milik penuh MBSB dan PNB muncul sebagai pemegang saham utama MBSB dengan pegangan ekuiti sebanyak 12.78 peratus.

Pada masa sama, pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MBSB dikurangkan daripada 65.78 peratus kepada 57.45 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, penggabungan tersebut mewujudkan Kumpulan yang diperbesarkan dengan daya tahan kewangan lebih baik, kapasiti lebih kukuh melalui kunci kira-kira lebih besar, jangkauan lebih luas dan pelbagai tawaran perbankan baharu meliputi perniagaan perbankan korporat serta pelaburan.

“Dengan menggabungkan kekuatan, kami berada pada kedudukan strategik untuk ­menyediakan pelanggan per­khidmatan yang lebih baik, produk inovatif, pengalaman yang diperibadikan dan lebih les­tari.

“Ketika kami bergerak ke hadapan, misi kami adalah untuk mewujudkan persekitaran yang mana semua dapat berkembang maju.

“Kami berdedikasi kepada budaya berprestasi tinggi, dibina di atas nilai teras kami iaitu kerendahan hati, profesionalisme, etika, empati dan semangat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak diperbadankan pada tahun 1960 sebagai perintis untuk kewangan pembangunan, MIDF telah menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat sebagai sebahagian daripada usaha perindustrian negara.

MIDF adalah penyedia perkhidmatan kewangan yang memberi tumpuan kepada tiga bidang teras; pelaburan perbankan, kewangan pembangunan dan pengurusan aset termasuk produk patuh syariah.

Sementara itu, anak syarikat perbankan Islam MBSB, MBSB Bank Berhad menyediakan pelbagai kemudahan perbankan patuh syariah kepada pe­langgan runcit, PKS dan korporat.

Saham Pertimbangan akhir akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities hari ini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI