fbpx

Gerakan tarzan penenang jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FLEITES melakukan pergerakan seperti beruk ketika berada di atas pokok.

KETIKA masih kecil dan membesar di Cuba, Victor Manuel Fleites selalu melarikan diri dari rumah keluarganya sebelum ke hutan berhampiran.

“Berada di alam semula jadi adalah satu bentuk penyembuhan. Saya sentiasa berasa terputus hubungan dengan dunia arus perdana dan saya adalah pemberontak.

“Saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat moden ketika itu,” katanya yang kini berusia 33 tahun.

Oleh itu, setiap kali berasa kurang senang dengan keadaan sekeliling, Fleites akan melarikan diri masuk ke hutan.

Ketika di hutan, dia akan menjadikan dahan pokok besar sebagai laluan peribadinya sendiri.

Haiwan yang berada di hutan akan menjadi kawannya dan dia menjadi seperti tarzan.

Hari ini, Fleites percaya bahawa ramai manusia telah kehilangan hubungan dengan dunia semula jadi.

Dia juga percaya bahawa beruk mempunyai hubungan rohani lebih baik dengan alam semula jadi berbanding manusia.

Jadi, dia telah mencipta gerakan baharu untuk meyakinkan ratusan orang, sebelum membawa mereka masuk ke dalam hutan menjadi seperti beruk.

Maka, dia memperkenalkan ‘Pergerakan Tarzan’ yang merupakan satu rejim kecergasan dan pendekatan baharu dalam kehidupan serta diajar di peringkat antarabangsa.

Dalam rejim kecergasan itu, Fleites menggalakkan pengikutnya meniru pergerakan seperti beruk dan monyet.

Malah, dia menjadi semakin terkenal di media sosial dan mempunyai hampir 200,000 pengikut.

FLEITES menunjukkan aksi melompat dari satu dahan ke satu dahan di atas pokok.

Ramai pengikutnya memilih untuk memanjat pokok dan berjalan merangkak bersama-sama dengannya.

Dalam satu video di Instagram, salah seorang pembantu Fleites berjalan merangkak sambil membuat bunyi seperti seekor cimpanzi.

Dalam satu lagi video lain, ada pengikutnya yang melompat dari dahan pokok ke dahan pokok lain.

Selain itu, Fleites sendiri sering menghasilkan video dan mengajar penontonnya cara memanjat atau mengekalkan keseimbangan di atas pokok dengan menggunakan tapak kaki.

Untuk makluman, ibu bapa Fleites merupakan doktor. Mereka berpindah dari Cuba ke Sepanyol ketika Fleites remaja, namun dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan konvensional dan lari masuk ke hutan.

Berpangkalan di Sepanyol, Fleites dan kumpulan kecilnya menawarkan kelas yang merangkumi aktiviti memanjat pokok dengan merangkak, berayun dari pokok anggur, mencangkung, membuat bunyi beruk dan meniru pergerakan haiwan di hutan.

“Penting untuk tidak lupa bahawa anda adalah haiwan. Kami adalah haiwan.

“Kita berasal daripada keluarga beruk dan saya fikir sudah tiba masanya untuk mengenali sisi haiwan berkenaan” katanya.

Dalam pada itu, Emma LaBarbera, 25, yang merupakan seorang guru prasekolah di California, Amerika Syarikat berkata, dia pertama kali menemui ‘Pergerakan Tarzan’ di Instagram.

Menurutnya, rasa ingin tahu tentang pergerakan itu memuncak dalam dirinya, sebelum memutuskan untuk menghadiri bengkel yang dianjurkan oleh Fleites.

“Saya sebelum ini telah didiagnosis dengan gangguan tekanan selepas berhadapan dengan trauma kompleks.

“Kelas ini membantu saya daripada gangguan tekanan berkenaan,” katanya.

Tambah Emma, selepas menghadiri kelas tersebut, dia terus mempraktikkan pergerakan tersebut di dalam kehidupan sehariannya. Dia mendaki tanpa kasut dan merangkak di atas permukaan sempit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI