fbpx

Britain berdepan ancaman dadah ‘Frankenstein’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAKARAN artis menunjukkan raksasa Frankenstein. – AGENSI

LONDON – Sejenis opioid atau dadah sintetik digelar ‘Frankenstein’ yang dianggarkan 40 kali ganda lebih berbahaya berban­ding fentanyl membimbangkan Britain, kata pakar-pakar dalam amaran mereka seperti laporan portal berita MailOnline kelmarin.

Dinamakan nitazene, dadah itu dihasilkan di makmal-makmal haram di China dan dise­ludup ke Britain menggunakan rangkaian penjenayah.

Dadah sintetik itu yang dicampur bersama heroin kerana harganya murah, meningkatkan insiden pengambilan berlebihan dan kematian sejak beberapa bulan lalu.

Selain dicampur bersama dadah lain, nitazene juga dijual sebagai pil oxycodone atau serbuk Xanax, demikian menurut beberapa pertubuhan amal memerangi dadah.

Pakar-pakar memberitahu MailOnline bahawa peningkatan penggunaan nitazene di Britain ‘amat membimbangkan’ dengan dadah yang menyebabkan ketagihan melampau itu berada di kebanyakan rantau.

“Kebanyakan penagih menye­dari mereka mengambil nitazene dan bukannya heroin apabila sedang nazak dan sudah terlambat,” kata mereka.

Nitazene pada asalnya dihasilkan sebagai ubat tahan sakit oleh syarikat farmaseutikal Switzerland, Ciba dalam tahun 1950-an tetapi tidak pernah dipasarkan.

Bahan itu bagaimanapun hanya muncul dalam kalangan penagih di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu dan diberi jolokan opioid Frankenstein kerana kesannya sungguh kuat.

Ia dipercayai tiba di Britain dua tahun lalu apabila Agensi Jenayah Kebangsaan pertama kali melihatnya dalam kalangan penagih yang mengambil dadah secara berlebihan.

Boleh didapati dalam bentuk serbuk, tablet dan cecair, nitazene disuntik, ditelan, diletakkan di bawah lidah, disedut atau dihisap menggunakan peranti vape.

Dadah itu mencetuskan pera­saan ‘lalok’, menghilangkan rasa sakit, relaks dan mengantuk. Namun, ia juga menyebabkan pengambilnya berpeluh, gatal dan mual.

Nitazene meniru kesan dadah semula jadi seperti morfin dan kerap kali dicampurkan bersama untuk menghasilkan koktel maut.

Pengguna biasanya tidak tahu mereka mengambil nitazene dengan polis mendapati sebilangan penagih yang menganggap mereka mengambil heroin, sebenarnya menggunakan nitazene bercampur parasetamol dan kafein.

Dalam tahun 2021 sahaja, sebanyak 24 kematian dikaitkan dengan isotonitazene iaitu sejenis nitazene di Britain.

Klinik-klinik pemulihan me­nyatakan, nitazene berasal daripada makmal-makmal haram di China.

Pakar-pakar berkata, makmal-makmal ini menyelongkar kertas penyelidikan dalam cubaan awal menghasilkan dadah sintetik dan secara tidak sengaja menemui nitazene yang lebih murah untuk dihasilkan berbanding dadah sintetik fentanyl.

Fentanyl sendiri digemari oleh ramai pengedar dadah kerana lebih murah berbanding heroin.

Peningkatan penggunaan nitazene di Britain dipersalahkan kepada tindakan kerajaan Taliban membanteras tanaman popi di Afghanistan. Negara itu dikatakan menjadi pembekal utama heroin di Britain.

Kekurangan heroin memaksa kumpulan-kumpulan penjenayah mencari alternatif lain.

Sekitar 40 kematian berkaitan dadah sintetik direkodkan di England dan Wales pada setiap minggu, namun terdapat pe­ningkatan insiden pengambilan dadah berlebihan dengan sebilangan kes berakhir dengan kematian sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak berkongsi data tersebut.

Nitazene dikategorikan sebagai dadah Kelas A di Britain, manakala sesiapa yang memilikinya boleh dipenjara selama tujuh tahun dengan pengedar berdepan hukuman penjara seumur hidup serta denda.

Polis mengeluarkan amaran mengenai nitazene sejak beberapa minggu lalu dan menyatakan, dadah itu boleh membawa maut jika diambil dalam dos sama se­perti dadah semula jadi.

Seorang jurucakap kerajaan berkata: “Sebarang kematian akibat pengambilan dadah berlebihan adalah tragedi yang boleh dielakkan. Justeru, kami komited memerangi perdagangan dan penggunaan dadah.

“Kami bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi kami untuk memantau rapi situasi ini, mengesan dan membanteras rangkaian bekalan dadah. Kami juga memberi amaran kepada orang ramai yang berisiko dan menyelamatkan nyawa mereka,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI