fbpx

Peniaga terima bayaran menerusi DuitNow QR dicaj mulai 1 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pengendali DuitNow QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan bahawa vendor (peniaga) yang menerima pembayaran menerusi platform DuitNow QR akan dikenakan caj mulai 1 November ini.

PayNet dalam satu kenyataan, memaklumkan, terdapat dua e-pembayaran berbeza dikenakan caj iaitu kadar diskaun peniaga (MDR) dan fi 50 sen bagi transaksi melebihi RM5,000.

“Mulai 1 November, pengecualian MDR untuk pembayaran menerusi kod tersebut akan berakhir. Ketika ini, pembayaran kad debit dan kredit tertakluk kepada MDR, manakala terdapat pengecualian MDR untuk pembayaran QR.

“MDR bukanlah caj baharu atau tambahan, ia sebaliknya insentif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR yang diperkenalkan pada 2019 dengan MDR telah dikecualikan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, fi sebanyak 50 sen yang dilaporkan media sebelum ini adalah untuk pemindahan dana rakan setara (P2P) dan tiada kaitan dengan pembayaran kepada peniaga.

“Caj untuk MDR dan fi 50 sen tidak akan dikenakan untuk transaksi sama dalam apa jua keadaan.

“Adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa fi 50 sen dikenakan untuk pembayaran yang dibuat kepada peniaga.

“Ia juga tidak betul untuk mendakwa bahawa MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan kod QR peribadi,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kebimbangan pengguna berkaitan MDR, PayNet menegaskan, pembelian yang dilakukan menerusi kad kredit atau debit telah pun dikenakan MDR.

“Harga produk dan perkhidmatan yang dibayar dengan kad kredit atau debit adalah sama seperti pembelian tunai.

“Oleh itu, kami tidak menjangkakan bahawa harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembayaran DuitNow QR selepas MDR dilaksanakan semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI