fbpx

Bayar pengasuh pun sudah RM1,200 seorang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah keluarga memanfaatkan cuti persekolahan dengan meluangkan masa beriadah pada hujung minggu di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kos pengasuh mencecah RM1,200 bagi seorang anak termasuk barang keperluan yang terlalu tinggi menjadi punca pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan tidak cukup untuk menyara seorang anak di ibu kota.

Bagi mereka, selain kos menjaga seorang anak dan keperluan lain yang mahal, gaji RM2,000 sebulan memang tidak cukup bagi individu untuk mempu­nyai cahaya mata di bandar raya ini.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai pasangan muda gemar merancang terlebih dahulu sebelum menimang cahaya mata.

Seorang pengguna di laman Facebook berkata, gaji isi rumah sebanyak RM5,000 ke bawah tidak cukup untuk menyara keluarga, apatah lagi keluarga yang mempunyai gaji sekitar RM2,000 sebulan.

Jelasnya, kos pengasuh atau transit untuk seorang anak sudah mencecah RM1,200 dan keperluan itu tidak termasuk susu dan lampin pakai buang yang mahal sekarang.

“Kalau dua hingga tiga orang anak, perbelanjaan makin terasa. Bukan tidak bersyukur tapi itulah hakikatnya,” kata Fazleeny.

“Keluarga dalam kategori miskin bandar banyak kos yang perlu ditanggung, lebih-lebih lagi yang anak ramai,” kata pengguna media sosial dikenali Zuraini.

“Kalau anak masih kecil, kos­nya lain. Bila anak dah meningkat dewasa, lain pula kosnya. Di bandar atau di kampung, sama sahaja. Semua terdesak untuk teruskan hidup,” kata Sabariah.

Jelasnya, ada juga yang lebih gemar menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana berpendapat anak merupakan rezeki daripada Allah SWT.

“Cukup atau tidak, itu bergantung pada gaya perbelanjaan harian. Kalau gaji tinggi, syukur. Kalau tidak, itu sahajalah rezeki, terpaksa fikir macam mana hendak tambah sumber kewangan keluarga.

“Hidup ini perlu ukur di badan sendiri. Kalau yakin dengan rezeki, insya-Allah cukup,” kata Shah.

Semalam, Kosmo! melaporkan ramai pasangan muda menangguh untuk mendapatkan cahaya mata kerana terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Anggaran kos untuk pasangan suami isteri tanpa anak yang tinggal di Lembah Klang adalah sekitar RM4,630. Sebanyak RM1,000 diperlukan untuk bayaran pengasuh, susu, lampin pakai buang untuk seorang anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI