fbpx

Jumlah mangsa banjir terus meningkat, dua PPS dibuka di Kota Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan perumahan Taman Sayang di Changlun yang dilanda banjir sejak kelmarin. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 268 orang daripada 81 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusoff berkata, kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di empat PPS iaitu masing-masing dua di Changlun dan Kota Setar.

“Dua PPS terbaharu dibuka di Kota Setar iaitu di Dewan Taman Seri Bagan pada pukul 7 malam tadi diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman pada pukul 11 malam tadi.

“Kedua-dua PPS itu masing-masing menempatkan seramai 40 mangsa banjir termasuk dari Taman Sri Bagan, di sini,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, PPS di Changlun kekal dua iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang.

“Jumlah mangsa banjir di dua PPS itu juga tidak berubah sejak pukul 12 tengah malam tadi iaitu seramai 150 orang di SMK Changlun dan 38 orang di Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Mohd. Muaz, cuaca di seluruh negeri ini tidak hujan pada malam tadi, namun APM akan terus bersedia berikutan notis waspada hujan sehingga hari ini oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

“Selain itu, merujuk kepada data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai iaitu Sungai Laka, Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang menunjukkan aras air pada paras bahaya,” jelasnya.

Tambahnya, kawasan terjejas di Changlun dalam daerah Kubang Pasu adalah Kampung Nangmah, Kampung Paya Nong Mi, Kampung Paya Lantau, Kampung Beru, Kampung Kubang Kayu, Taman Sayang dan Kampung Bendang Tok Leh.

“Sementara di Kota Setar adalah kawasan Pengkalan Kundor dan Taman Sri Bagan manakala di Pendang pula melibatkan Kampung Hampar Kanan, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Banggol Kambing.

“Di Kuala Muda, empat kawasan terjejas adalah Kampung Jerai, Kampung Sungkap Para, Kampung Haji Ngah dan Kampung Masjid,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI