fbpx

15 Ikon Nilai dilantik lestarikan budaya murni perkhidmatan awam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki (lima kanan) ketika melakukan simbolik perasmian persidangan tersebut. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Seramai 15 Ikon Nilai akan dilantik dari kalangan kakitangan awam bagi melestarikan pembudayaan murni dalam perkhidmatan awam negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ini dilakukan menerusi inisiatif Value Champion Officer (VCO) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan pelantikannya melibatkan kakitangan sama ada daripada kementerian, jabatan, pejabat setiausaha kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Pelaksanaan rintis VCO bagi tahun ini adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk memantapkan pembudayaan nilai dalam perkhidmatan awam melalui teladan terbaik di organisasi.

“15 Ikon Nilai itu akan dilantik berdasarkan syarat-syarat tertentu dengan pelaksanaan penuh VCO akan bermula pada tahun depan,” katanya sewaktu berucap merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA, 13 hari ini.

Jelas beliau, antara syarat tersebut adalah menunjukkan prestasi cemerlang dengan markah purata 85 peratus bagi tiga tahun terkini dan melepasi tapisan tatatertib serta mempunyai kualiti keperibadian yang baik.

“Inisiatif rintis VCO ini akan digerakkan melalui mekanisme pemantauan berdasarkan pelaporan tahunan dan pencapaian skor Indeks Komposit Nilai setiap agensi.

“Libat urus melalui jelajah dan seminar akan diadakan secara berterusan bagi mempromosi nilai dan peranan VCO bagi menyokong pencapaian agenda Madani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI