QAYYIM (kiri) bergelar johan qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa menewaskan qari-qari normal serata dunia baru-baru ini, manakala wanita buta Vietnam Christine Ha (tengah) mencatat sejarah apabila pernah menjadi juara MasterChef USA walau tidak boleh melihat dan gadis Indonesia Putri Ariani (kanan) yang memukau dunia dengan bakat nyanyiannya bakal berpeluang mencetus fenomena lebih besar apabila beraksi di pentas final America's Got Talent yang dijadualkan esok.

Inspirasi semesta insan buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Genap 10 tahun lalu, saat bertugas di negeri Kelantan, penulis pernah menemu bual seorang pelajar tingkatan dua yang mengalun indah ayat-ayat suci al-Quran menerusi al-Quran braille di sekolahnya di Melor.

Kala itu, dia baru saja bergelar johan Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2013 mengalahkan semua peserta normal.

Anak kepada pasangan bekas pemain bola sepak Kelantan skuad Semi Pro 1989, Sarimi Yusoff dan guru bahasa Inggeris, Rozan Mohamad itu memang mengagumkan.

Hari ini, qari kelainan upaya itu meneruskan momentum kecemerlangannya apabila bergelar Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa dengan kutipan markah mengatasi semua qari normal dari serata dunia yang bertanding.

Dialah Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, seorang lelaki cacat penglihatan sejak lahir akibat hipoplastik tahap tiga.

Dengan mencatat markah 94.96 peratus, Qayyim berjaya mengalahkan qari-qari lain pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 di ibu kota hujung bulan lalu dengan tempat kedua ialah qari dari Iran dan ketiga qari Brunei.

Kerana bacaan al-Quran yang hebat jua, Qayyim pernah dijemput Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semasa penutupan majlis penyampaian hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Ankara, Turkiye pada tahun 2016.

Kejayaan dan kebolehan luar biasa insan buta seperti Qayyim, 25, ini seharusnya dijadikan sumber inspirasi orang ramai yang celik mata untuk berusaha memperindah bacaan al-Quran atau jika lebih besar lagi mencipta nama di persada antarabangsa.

Kalau insan yang tidak boleh melihat itu mampu berjaya sehingga mencipta nama di dunia, mengapa kita yang sempurna tidak boleh melakukannya?

Kejayaan insan-insan buta dalam pelbagai lapangan pertandingan semakin tidak asing lagi mutakhir ini.

Satu lagi nama insan buta yang kini kian ‘mendunia’ ialah Putri Ariani dari Indonesia yang memukau semesta dengan kemerduan suaranya menerusi penyertaannya dalam America’s Got Talent (AGT).

Putri Ariani mencipta sejarah apabila terpilih mara ke pusingan akhir.

Pada aksi separuh akhir, persembahan Putri Ariani, 17, yang menyanyi sambil memetik piano mendapat tepukan berdiri empat juri antaranya juri ‘si mulut laser’ Simon Cowell serta penonton di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat (AS).

Esok, 26 September dijadualkan pentas akhir AGT dan tibalah detik penentuan segalanya. Jika Putri Ariani menjadi juara, nama gadis dari Riau itu bukan fenomena lagi tapi pastinya sudah menjadi ledakan ‘supernova’.

Barang kali Putri Ariani mampu mengikut jejak langkah seorang buta juga berketurunan Asia Tenggara yang pernah ‘menakluki’ bumi AS dengan kehebatan memasak walau tidak dapat melihat, Christine Huyen Tran Ha atau Christine Ha.

Wanita buta berketurunan Vietnam itu pernah menakjubkan dunia dengan kehandalannya memasak dalam pertandingan kulinari kompetitif popular MasterChef yang salah seorang jurinya ‘chef dari neraka’, Gordon Ramsay apabila Christine dinobatkan sebagai juara MasterChef AS musim ketiga pada tahun 2012.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN