fbpx

Errisha impi julang nama negara melalui kereta solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRISHA merupakan salah seorang anggota pasukan kereta solar UiTM, Eco Photon.

GENERASI muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara perlu diberi kepercayaan melaksanakan sesuatu tugas yang memerlukan kebijaksanaan dan kemahiran tertentu.

Pada masa sama, mereka harus dibentuk menjadi seorang yang tegas dan berdikari dalam mendepani setiap cabaran mendatang.

Bagi penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ezzaryn Errisha Farazasmady, 22, kehilangan bapa semasa berusia lima tahun membentuk dirinya menjadi tegas dan lebih berdikari.

“Ibu saya Harison Abdul Talib merupakan seorang guru. Dia mendidik saya menjadi seorang insan yang yakin dengan diri sendiri.

“Keyakinan itu saya terapkan dalam segala aspek kehidupan saya seperti pelajaran, muzik dan aktiviti kokurikulum,” katanya ketika ditemui di Klang, Selangor baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, golongan mahasiswa yang masih muda tidak sepatutnya dihalang untuk memberi pandangan.

Ujarnya, sepatutnya golongan tersebut perlu sentiasa diberi panduan dan nasihat oleh pihak universiti.

Gadis yang mesra disapa Errisha itu juga merupakan atlet acara larian di zaman persekolahan di Sekolah Convent Bukit Nanas dan Sekolah Teknik Seremban.

“Saya datang daripada sekolah yang bercampur pelbagai etnik dan agama. Kami boleh bekerjasama dengan baik dalam satu kumpulan.

“Cuma saya sebagai generasi muda masih tidak memahami sebab perlu wujud parti politik mengikut kelompok tertentu sedangkan di dunia nyata tidak begitu,“ jelasnya.

Dalam pada itu, Errisha yang merupakan anggota pasukan kereta solar UiTM, Eco Photon bakal bertanding di Australia bulan depan.

Ujarnya, dia dan lebih 20 anggota pasukan berazam untuk menjulang nama UiTM sebagai pemenang.

ERRISHA bersama 20 anggota pasukannya akan membawa cabaran Malaysia pada pertandingan kereta solar
di Australia bulan depan.

Jelasnya lagi, dia harap kereta solar Eco Photon, KerisGen5 mampu sampai ke garisan penamat dan berada pada kedudukan terbaik.

“Dalam pasukan Eco Photon, saya menjadi Pengurus Perniagaan dan tugas tersebut adalah amanah yang perlu dilunaskan dengan sebaiknya.

“Kerjasama erat antara rakan sepasukan dan pensyarah membuktikan anak-anak Malaysia mampu ke persada dunia dalam pertandingan tersebut,” terangnya.

Errisha yang mendapat 8A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelaskan, pertandingan tersebut adalah penting untuk mengangkat nama Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam teknologi mesra alam.

Katanya, teknologi solar merupakan tenaga alternatif kepada bahan bakar seperti petrol dan diesel.

“Dalam pertandingan ini, bukan sahaja kejayaan mutlak dicari, malah kerjasama yang terbentuk adalah cerminan kepimpinan masa depan negara.

“Untuk berjaya di dalam pertandingan tersebut, disiplin ilmu adalah aspek yang menjadi keutamaan dan semua pihak mempunyai peranan tersendiri,” katanya.

Gadis ini memasang cita-cita bergelar seorang jurutera berjaya.

Mengulas mengenai cita-cita, dia yang meminati kumpulan muzik Barat, My Chemical Romance ingin menjadi seorang jurutera berjaya.

Errisha yang merupakan pemegang biasiswa Gamuda berkata, sebelum terpilih belajar di UiTM, dia mengambil inisiatif mendapatkan biasiswa tersebut.

Justeru katanya, selepas bergraduasi dia akan bertugas di syarikat tersebut dan menyempurnakan cita-cita sebagai profesional dalam bidang teknikal.

“Biasiswa ini adalah antara usaha awal saya untuk membuktikan kepada keluarga, keazaman untuk menjadi seorang yang berdikari,” ujarnya.

Menyentuh tentang trend penghasilan kandungan di media sosial, dia turut bercita-cita menjadi pempengaruh terkenal satu hari nanti.

Tujuan dirinya menjadi pempengaruh bukan untuk mengejar populariti atau ‘singa emas’ (wang ringgit), tetapi untuk berkongsi ilmu bermanfaat dengan netizen.

“Untuk menjadi pempengaruh seseorang individu perlu ada ilmu. Sekarang adalah masa mengutip seberapa banyak ilmu dan menimba pengalaman berharga.

“Insya-Allah setelah tamat belajar saya akan kongsikan segala ilmu yang dipelajari dengan masyarakat di luar sana,” jelasnya.

Selain itu, dia mempunyai prinsip hidup iaitu ‘didiklah diri sendiri sebelum mendidik orang lain’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI