TIGA beradik yang didiagnosis secara saintifik mengalami keadaan fizikal dan tingkah laku tertentu yang dikategorikan kelainan upaya menjadikan hobi melukis sebagai aktiviti masa lapang mereka.
Lebih membanggakan, lukisan menarik dan artistik yang dihasilkan ketiga-tiga bersaudara itu kini mempunyai peminat dan pembeli yang tersendiri.
Tiga beradik berbakat besar tersebut tersebut adalah Ayra Nurkhairina Azhan Khairi, 12, Ajwa Nurkhairina,11, dan Amna Nurkhairina, 8.
Menurut ibu mereka, Siti Fauzliana Abdul Razak, 40, minat melukis berputik dalam kalangan adik-beradik tersebut bermula tiga tahun lalu terutama semasa Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
“Ayra ada ‘mild autism’ iaitu autisme pada tahap fungsi sederhana dan ketinggalan tahap pertuturan. Tahap pertuturan Ayra sekarang adalah pada tahap kanak-kanak usia 3 atau 4 tahun.
“Amna pula ada autisme tahap fungsi tinggi jenis Asperger.
“Ajwa pula pernah ada disleksia tahap sederhana di mana pada umur 7 tahun, Ajwa masih mempunyai masalah untuk mengingat huruf dengan baik dan belum boleh membaca secara lancar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini.
Jelas Siti Fauzliana, setelah Ajwa dihantar ke sesi terapi bahasa dengan ahli terapi yang berkelulusan mengajar anak-anak disleksia, Ajwa berjaya membaca dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris pada umur 8 tahun.
Katanya, pencapaian Ajwa tersebut membuktikan dengan usaha berterusan tanpa jemu, anaknya itu mampu berubah.
Mengulas mengenai kualiti lukisan anaknya yang mendapat pujian banyak pihak, Siti Fauzliana berkata, anak-anaknya mampu menghasilkan lukisan berkualiti tinggi ekoran penumpuan yang penuh terhadap karya mereka.
Katanya lagi, Ayra sebenarnya baru mula aktif melukis setelah melihat adiknya, Ajwa dan Amna kelihatan seronok serta ceria ketika melukis dan bermain dengan warna.
“Ayra perlu dibantu pada permulaan dan diberi arahan untuk melukis. Kini, dia semakin maju dalam karyanya.

“Ajwa dan Amna boleh berdikari dalam menghasilkan karya mereka sambil saya dan suami (Azhan Khairi Ahmad) memantau aktiviti mereka,” katanya.
Siti Fauzliana memberitahu, anak-anaknya terutama Ayra boleh menghabiskan masa selama dua jam tanpa berhenti rehat jika sudah memulakan sesuatu karya lukisan.
Kadangkala kata Siti Fauzliana, dia bimbang jika anaknya mengalami keletihan yang boleh menyebabkan berlaku keadaan yang dipanggil tantrum.
“Saya dan suami sentiasa memastikan permata hati kami ini sentiasa gembira semasa menjalankan aktiviti mereka.
“Jika ketiga mereka sudah mula melukis, masing-masing menumpukan perhatian seolah larut dalam dunia mereka sendiri,” katanya.
Jelas Siti Fauzliana, kos membeli kanvas dan segala jenis warna untuk menghasilkan lukisan unik berwarna-warni penuh ciri-ciri abstrak itu mencecah hampir RM200 setiap kali kelengkapan berkenaan habis.
Namun Siti Fauzliana dan suami, Azhan, 39, tidak kisah mengeluarkan modal untuk memberi sokongan kepada anak-anaknya dalam mengisi masa lapang mereka.
“Ada lukisan yang dihasilkan anak-anak saya dijual dengan harga tiga angka. Namun apa yang lebih berharga bagi saya, anak-anak saya mampu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk diri mereka.
“Sebuah lukisan bertajuk My Pretty Ossie karya Ayra yang mengambil masa dua jam untuk dihasilkan, telah dihadiahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Perasmian Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) di Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini,” ujarnya.
Bercerita tentang pameran lukisan yang disertai ketiga-tiga puterinya itu, Siti Fauzliana berkata, antaranya ialah Selangor International Book Fair 2022 di Shah Alam MBSA Convention Center (2022), Prosperity Rabbit Art Exhibition di DaMen Mall, Subang Jaya (2023), Art Of Autism anjuran NARC Universiti Teknologi Mara (UiTM) di DaMen Mall, Subang Jaya (2023).
Mengulas lanjut katanya, antara lukisan Ayra yang terjual setakat ini selain My Pretty Ossie ialah lukisan bertajuk The Baby Ostrich, My Dear Rabbit, My Dear Owl, My Happy Times dan Kawan yang dibeli oleh seorang usahawan.
“Lukisan Ajwa yang terjual bertajuk Cindy The Butterfly, Late Night In June,Purple Evening, Mr. Sam The Lion, Green Forest, Rocky River dan Northern Light.
“Sementara itu, lukisan Amna yang terjual bertajuk Lovemingo. Lukisan karya ketiga-tiga anak saya dijual dalam lingkungan RM30 hingga RM700,” ujarnya.
Kongsi Siti Fauzliana, dia dan suami menguruskan perniagaan online sebagai sumber ekonomi keluarga.
Tambahnya, di samping menjual lukisan anak-anak secara dalam talian dan menerusi pameran, pendapatan keluarganya adalah hasil perniagaan makanan dan aksesori motosikal.
“Kami mengambil keputusan berniaga secara online bagi memudahkan pengurusan ketiga-tiga anak yang bersekolah di sekitar Subang Jaya.
“Kesemua pendapatan hasil lukisan adalah untuk memastikan ketiga-tiga anak saya yang saya dan suami amat kasihi mendapat perhatian sewajarnya daripada kami,” jelasnya.
















