fbpx

Tiada kes jangkitan penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kes jangkitan penyakit Nipah yang berlaku dalam negara setakat ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penyakit Nipah pertama kali dikesan dalam kalangan manusia di Malaysia antara September 1998 hingga Mei 1999 melibatkan 265 kes termasuk 105 kematian.

Katanya, sejak itu, survelan dan pemantauan penyakit Nipah telah dijalankan dalam kalangan manusia melalui ‘passive case detection’.

“Survelan bagi kes encephalitis juga telah dijalankan di mana sampel diambil bagi ujian patogen yang menyebabkan encephalitis termasuk virus Nipah dan virus Japanese encephalitis.

“Kes Nipah yang terakhir di Malaysia berlaku pada 27 Mei 1999 dan sehingga kini, (21 September) tiada kes baru dalam kalangan manusia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, KKM kemudian meneruskan kerjasama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bagi perkongsian maklumat survelan virus Nipah dalam kalangan haiwan liar dan haiwan domestik.

“Sehingga kini, tiada sampel haiwan yang ditemui positif virus Nipah. Malaysia telah diisytiharkan bebas penyakit Nipah pada tahun 2001 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH),” ujarnya.

Dr. Zaliha berkata, bagi mencegah jangkitan penyakit Nipah, orang awam terutama pengembara yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi di mana wabak Nipah sedang berlaku, dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan.

“Amalkan mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, elakkan sentuhan dengan keluang atau khinzir terutamanya yang sakit, elakkan berada dalam kawasan di mana keluang diketahui berkumpul atau tinggal.

“Selain itu, elakkan pengambilan buah-buahan dan nira disyaki tercemar dengan air liur atau cecair badan keluang serta elakkan sentuhan langsung dengan rembesan orang yang dijangkiti penyakit Nipah,” jelasnya.

Beliau menambah, bagi pengembara yang pulang ke Malaysia dari negara berisiko tinggi jangkitan penyakit Nipah, dinasihatkan untuk melakukan pemantauan kendiri tanda dan gejala selama 14 hari serta sekira bergejala elak dari berhubung dangan orang lain dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

KKM akan sentiasa memantau kejadian penyakit Nipah di luar negara dan akan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap penyakit Nipah dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI