fbpx

Harga lauk kekal, bukan semua orang mampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAS IDAYAH membungkus lauk yang dipesan pelanggan di kedai makannya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani baru-baru ini.

PETALING JAYA – Rata-rata peniaga nasi campur tetap mengekalkan harga lauk walaupun terpaksa menaikkan harga nasi putih hingga RM2 sepinggan kerana bimbang pelang­gan lari.

Para peniaga yang ditemui juga menyuarakan keluhan apabila mereka juga terhimpit dengan kenaikan harga makanan ruji itu termasuk barangan asas lain sejak akhir-akhir ini.

Di Serdang, peniaga nasi campur di Medan Selera Pekan Sri Serdang, Lilly Aizura Mohd. Azmi, 37, berkata, golongan peniaga hanya mampu menutup mata dengan kenaikan harga barang mentah ketika ini.

“Kami rasa serba salah untuk naikkan harga kerana kami faham, bukan semuanya mampu. Kalau ambil nasi kosong, kami akan caj RM1. Banyak atau sedikit, kami tidak kisah. Kami tetap akan jual dengan harga sama. Keropok juga naik harga, kalau dulunya RM3, sekarang RM5 sepeket. Kami cuba kekalkan harga asal.

“Kami di sini amal konsep berniaga sambil bersedekah kerana ramai pelajar universiti. Kalau ada pelajar yang susah, terpaksa meminjam untuk bayar, selalunya kami halalkan saja,” katanya.

PENIAGA terpaksa menyerap kos barangan mentah yang meningkat dengan mengekalkan harga makanan ketika tinjauan di Medan Selera Pekan Sri Serdang, Serdang baru-baru ini.

Menurut Lilly, walaupun perniagaan keluarganya terkesan dengan peningkatan harga barang mentah seperti gula, beras, minyak masak dan sayur-­sayuran, mereka masih lagi menjual lauk-pauk dengan harga murah kerana yakin punca rezeki mereka di tangan Tuhan.

“Harga barang mentah naik sedikit demi sedikit. Mula-mula gula naik harga, sekarang beras.

“Minyak pun sudah lama naik harga. Kami sebagai peniaga tidak boleh gunakan minyak peket. Jadi kami terpaksa beli minyak botol besar yang berharga RM35 hingga RM38. Dulu, mi­nyak harganya RM25 hingga RM33. Kenaikan ini juga buatkan kami terkesan,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di medan selera itu mendapati, orang ramai boleh mendapatkan sepinggan nasi putih, lauk ayam goreng dan sayur sekitar RM7 hingga RM8.

Di Seberang Perai, seorang pengusaha kedai makan, Azri Abdul Fattah, 30, berkata, dia masih mengekalkan harga lauk-pauk yang dijualnya sama seperti sebelum ini.

Bapa kepada sepasang cahaya mata itu berkata, bagaimanapun, harga untuk sepinggan nasi terpaksa dinaikkan daripada RM1.50 kepada RM2 berikutan kenaikan harga beras ketika ini.

“Walaupun harga nasi naik, saya telah beritahu kepada pekerja-pekerja saya supaya tidak (kenakan) caj tersebut jika pelanggan cuma ambil separuh nasi sahaja dalam pinggan mereka. Kalau penuh atau lebih daripada separuh baru kira RM2. Itu sahaja.

“Dalam hal ini, kami sebagai peniaga pun kena berlaku jujur kepada pelanggan dan tak hanya mementingkan keuntungan semata-mata,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut di Bukit Mertajam di sini.

Tambah Azri, setakat ini, tiada sebarang rungutan yang diterima daripada pelanggan mereka berhubung kenaikan harga makanan asasi itu.

SEBAHAGIAN pengusaha kedai makan lauk tengah hari di Pulau Pinang masih mengekalkan harga bagi mengelakkan pelanggan ‘lari’.

Sementara itu, di George Town, peniaga nasi campur yang mahu dikenali sebagai Kak Zainab pula memberitahu, dia juga terpaksa menaikkan harga nasi putih yang dijual sejak 10 tahun pada harga RM1 sepinggan menjadi RM1.50, minggu lalu.

“Kami tiada cara lain dan terpaksa juga menaikkan harga nasi sebanyak 50 sen. Ini disebabkan kenaikan harga beras 10 kilogram yang dibeli pada harga RM26 sebelum ini dan kini naik sehingga RM40.60 sekampit.

“Kenaikan ini hanya melibatkan harga nasi putih sahaja manakala lauk-pauk masih ditetapkan harga sama. Contoh, bagi menu nasi bersama seketul ayam dan sayur masih dijual RM6.50, sama juga dengan lauk ikan kembung dan sayur manakala nasi dan daging serta sayur dijual RM4.50 hingga RM5 sebungkus, bergantung pada kuantiti sayur yang diambil,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan di dua gerai nasi campur yang terletak di Bayan Baru dan Butterworth pula mendapati pengusahanya masih tetap mengekalkan harga lauk serta nasi yang sama demi keselesaan dan kepuasan pelanggan mereka.

Di Sungai Petani, seorang peniaga, Mas Idayah Salleh Idrus, 39, berkata, buat masa sekarang harga jualan di kedai makannya di Taman Ria Jaya, di sini masih kekal sama.

“Saya masih menjual nasi putih dicampur ikan tongkol atau ikan kembung besar dengan sedikit sayur pada harga RM7, manakala nasi bercampur lauk ayam dan sayur dijual pada harga RM6.50.

“Peningkatan harga bahan mentah seperti ayam, beras, sayur-sayuran ketika ini memang memberi kesan kepada perniagaan tetapi bagi mengelak kehilangan pelanggan, kami terpaksa menjualnya pada harga biasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini

Menurut ibu kepada empat orang anak ini, walaupun tertekan kerana harga beras 10 kilogram (kg) naik daripada RM24 ke RM 36, harga ayam juga meningkat daripada RM9.30 kepada RM10 sekilogram.

“Selain itu, harga ubi kentang juga naik daripada RM2.40 kepada RM4,” ujarnya.

Katanya, walaupun harga barangan mentah naik, dia tetap meneruskan perniagaannya walaupun keuntungan menurun.

“Saya tiada pilihan kerana inilah punca pendapatan sejak mengusahakan kedai ini lebih 20 tahun lalu bersama suami, Mohamad Nasaruddin Bakar, 52.

“Apa yang boleh dilakukan ialah mengekalkan harga tanpa menaikkannya sesuka hati kerana selain kasihan kepada pelanggan kami turut risau kehilangan mereka,” katanya yang mengakui pelanggannya masih ramai seperti biasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI