fbpx
Tangkap layar anggota JPJ yang dilanggar ketika operasi di Port Dickson,Negeri Sembilan baru-baru ini.

Rakyat Malaysia suka langgar undang-undang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minggu lalu, tular video seorang penunggang motosikal melanggar anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pemuda berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR itu dikatakan mahu meloloskan diri, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia terlanggar anggota sehingga terpelanting atas jalan.

Mujur anggota muda itu tidak mengalami kecederaan serius. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod kes jenayah dan dadah.

Dia juga tiada lesen memandu, manakala cukai jalan tamat tempoh 11 tahun lalu. Sudahlah melanggar peraturan, selepas itu rempuh pula anggota penguat kuasa. Sukarkah kita mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan?

Kelmarin, JPJ Negeri Sembilan memaklumkan, dalam tempoh 17 hari, pihaknya mengeluarkan 1,701 saman ke atas pengguna jalan raya atas kesalahan tidak memiliki lesen menerusi Ops Khas Motosikal.

Di ibu negara pula, Polis Kuala Lumpur turut melaksanakan Operasi Hormat Undang-undang fasa dua dalam usaha mendidik warga kota mematuhi peraturan lalu lintas. Setiap undang-undang dan peraturan yang ada di negara ini diwujudkan atas sebab yang tertentu.

Peraturan dibuat untuk mengatur dan menertibkan manusia. Jika tiada peraturan, hidup kita jadi kacau, masyarakat boleh membuat sesuatu sesuka hati. Namun, masih ramai orang kita yang mengambil mudah mengenai perkara tersebut terutama berkaitan jalan raya.

Mungkin kerana denda yang rendah, tiada risiko untuk disumbat ke dalam penjara kecuali kes-kes serius melibatkan soal nyawa pengguna jalan raya lain. Jadi mereka pandang enteng soal peraturan dan undang-undang jalan raya.

Jika dilihat antara kesalahan yang paling kerap direkodkan pihak berkuasa adalah tidak memiliki/memperbaharui lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan melanggar lampu isyarat merah.

Bagi mereka yang kerap melanggar peraturan jalan raya, kesalahan itu ibarat sudah sebati dalam diri. Malah, mereka tidak segan silu melanggar lampu merah walaupun sedar banyak mata yang memerhati.

Jika ditahan pihak berkuasa, mereka memberi alasan hendak cepat dan mula meraih simpati dalam media sosial. Disebabkan sikap penunggang dan pemandu yang tergesa-gesa seperti itu, kita yang hendak melintas jalan pun terpaksa berfikir panjang.

Begitu juga soal lesen, cukai jalan dan perlindungan insurans. Ada pemilik yang memberikan alasan mereka terlupa dan sibuk, namun kenderaan tersebut masih bergerak atas jalan raya.

Walau apapun alasan tersebut, kita perlu ingat bahawa kita berkongsi jalan raya dengan pengguna lain. Malang itu tidak berbau. Kalau tidak fikir tentang nasib orang lain sekali pun, sekurang-kurangnya fikir tentang diri kita sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN