fbpx

Lelaki hidu gam serang kenderaan polis guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan polis yang rosak akibat diserang seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Kiambor, Kuala Penyu kelmarin. -Foto PDRM

BEAUFORT – Seorang lelaki dipercayai menghidu gam mengamuk sebelum bertindak menyerang kenderaan polis menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Kiambor, Kuala Penyu kelmarin.

Lelaki warga tempatan berusia 40 tahun berkenaan tidak dapat mengawal dirinya sambil di kiri dan kanan tangan memegang sebilah parang dan pisau pemotong daging dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Kuala Penyu serta Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerima maklumat mengenai lelaki sedang mengamuk di kampung berkenaan pada pukul 12.16 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba suspek terbabit keluar dari kawasan semak dan bertindak menyerang kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan sebilah parang dan terus melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan namun sewaktu ditahan suspek masih agresif sambil memegang parang dan pisau pemotong daging,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, dua kenderaan pasukan milik PDRM turut dirosakkan oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang.

“Siasatan awal mendapati punca suspek terbabit mengamuk adalah kerana disyaki khayal dan seorang penagih gam.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 September untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 dan Seksyen 427 kanun yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI