fbpx

Mayat didakwa Darvnrajh ditikam sebanyak 18 kali, lebih lima tulang patah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Mayat ditemui di dalam semak di kawasan tepi jalan, Ladang Gadek, Kemuning dekat sini yang didakwa sebagai orang hilang R. Darvnrajh, 24, disyaki telah dibunuh dengan 18 kesan tikaman dan beberapa tulang retak serta patah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil laporan bedah disiasat mendapati mayat si mati mempunyai kesan luka disebabkan senjata tajam di beberapa bahagian termasuk leher, dada, kedua belah tangan, kaki serta tulang retak dan patah.

“Polis menerima laporan daripada orang awam yang menemui mayat manusia tanpa identiti dengan keadaan berulat serta hampir reput di dalam rimbunan semak kira-kira pukul 10 pagi, Sabtu lalu.

“Hasil bedah siasat kita dapati si mati telah meninggal dunia disebabkan kecederaan parah akibat objek tajam dipercayai ditikam sebanyak dua kali di leher, di dada (enam), kaki kanan (empat), tangan kiri (dua), kaki kiri (tiga) dan satu di tangan kanan,” katanya.

Tambahnya, selain itu tulang kepala si mati juga retak pada bahagian sebelah kiri, tulang rahang retak beberapa bahagian, dua tulang leher patah, tulang lengan tangan kanan patah, tulang lutut dan kaki patah dan tiga kesan luka pada jantung.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati satu laporan berkenaan dengan orang hilang telah dibuat oleh sebuah keluarga di Ibu Pejabat Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

“Pihak polis bagaimanapun masih belum dapat mengesahkan identiti sebenar mangsa dan kita juga masih menunggu keputusan Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ahli keluarga berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mayat si mati juga mendapati tiada kesan bakar, sebaliknya ia adalah proses pereputan yang berlaku. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan sebuah keluarga di Taman Bukit Ria, Tampin yakin bahawa mayat ditemui di kawasan Kemuning itu merupakan R. Darvnrajh, yang dilaporkan hilang sejak keluar menonton wayang bersama-sama adik serta rakan-rakannya pada 9 September lalu.

Ibu mangsa, K. Vathma, 55, memberitahu, meskipun keputusan pengesahan identiti masih belum diperolehi daripada pihak hospital, namun ahli keluarga percaya mayat ditemui itu adalah anaknya.

“Saya percaya mayat itu adalah anak saya dan dia telah dibunuh oleh rakan-rakannya. Sampai sekarang saya tak tahu apakah punca dia dibunuh sama ada kerana wang RM4,000 yang diperoleh hasil jualan motosikalnya atau isu lain, tetapi bukan kerana wanita kerana dia tidak ada kekasih.

“Semasa kejadian berlaku, saya syak duit itu ada dibawa bersamanya secara tunai kerana tidak disimpan di rumah kami di Taman Bukit Ria, Tampin,” katanya ketika dihubungi pemberita. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI