fbpx

Banjir Libya: Konflik berpanjangan punca tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berjalan di hadapan bangunan yang runtuh di Derna, 14 September lalu. - AFP

TRIPOLI, LIBYA – Dua empangan pecah dalam bencana Ribut Daniel yang mengorbankan lebih 11,000 nyawa di bandar Derna, Libya disahkan telah retak sejak 1998, demikian menurut seorang pegawai seperti dilaporkan laman berita Middle East Eye kelmarin.

Pendakwa Raya Awam, Al-Seddik Al-Sour mengumumkan penyiasatan terhadap keadaan yang membawa kepada keruntuhan dua empangan tersebut, yang menjadi tidak terkawal apabila banjir ‘tsunami’ melanda bandar berkenaan Ahad minggu lalu.

Sama seperti kebanyakan infrastruktur lain yang usang di Libya, dua empangan tersebut yang dibina untuk melindungi Derna daripada banjir rosak selepas bertahun-tahun diabaikan akibat konflik dan huru-hara politik di negara itu.

Negara Afrika Utara itu kini diperintah oleh dua pentadbir berseteru, yang telah berjuang untuk mendapatkan kuasa sejak pemberontakan yang disokong oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sehingga membunuh bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi pada 2011. 

Pada 10 September lalu, Ribut Daniel melanda timur Libya serta mencetuskan hujan lebat di kawasan berbukit di Derna, sebelum dua empangan tersebut runtuh dan mengakibatkan 11,300 orang terkorban setakat ini.

Menurut Al-Seddik, pihak yang bertanggungjawab menguruskan empangan tersebut telah melaporkan tentang keretakan tembok air di kedua-duanya seawal 1998.

Dua tahun kemudian, pihak berkuasa Libya melantik sebuah firma kejuruteraan dari Itali untuk menilai kerosakan.

“Syarikat itu kemudian mengesahkan terdapat keretakan dan mengesyorkan pembinaan empangan ketiga untuk melindungi bandar Derna,” kata Al-Seddik.

Empangan Abu Mansur, yang terletak 13 kilometer dari bandar Derna serta mampu menampung 22.5 juta meter padu air, dilaporkan runtuh terlebih dahulu.

Banjir yang berlaku kemudian menyebabkan empangan kedua yang menampung kapasiti 1.5 juta meter padu air, Al Bilad, turut pecah. Ia terletak hanya 1 kilometer dari bandar tersebut. 

Pada 2007, Libya yang ketika itu dipimpin oleh Gaddafi menganugerahkan kontrak kerja-kerja pembaikan empangan kepada sebuah syarikat dari Turkiye.

Namun, disebabkan isu pembayaran, syarikat itu tidak dapat memulakan kerja-kerja sehingga Oktober 2010, dan terhenti kurang lima bulan selepas revolusi yang membawa kepada kejatuhan Gaddafi.

Sejak itu, bajet telah diperuntukkan setiap tahun untuk membaiki kedua-dua empangan berkenaan, namun tiada satu pun pemerintah baharu sejak 2011 melaksanakan kerja-kerja tersebut, demikian menurut seorang pegawai.

Pada November 2022, seorang jurutera dan ahli akademik, Abdel Wanis Ashour memberi amaran dalam kajiannya bahawa malapetaka bakal mengancam Derna jika pihak berkuasa tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kedua-dua empangan tersebut.

Amaran itu bagaimanapun tidak diendahkan walaupun Libya mempunyai rizab minyak terkaya di Afrika dan tidak mengalami kekurangan sumber. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI