fbpx

‘Kepala nyaris bersepai kena peluru’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarudin (dalam bulatan) ketika sesi latihan kawad sebagai Home Guard pada tahun 1952 di Kuala Lipis, Pahang. Gambar kanan, Kamarudin masih bertenaga pada usia 84 tahun.

LIPIS – Tiada apa yang lebih diingati oleh bekas Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu atau Home Guard, Kamarudin Li, 84, selain peristiwa dia bersama rakannya yang nyaris maut ketika bertempur dengan komunis di Kuala Tembeling, Jerantut ketika era tahun 1950-an.

Kamarudin yang ketika itu berusia 18 tahun berkata, kejadian bermula apabila dia bersama 10 Home Guard diketuai Pawang Nong Santan dari Kampung Hulu Cheka membuat rondaan di kawasan hutan selepas diarahkan oleh seorang pegawai British dari Balai Polis Kuala Lipis.

“Kami diarahkan oleh pegawai polis untuk meronda di kawasan hutan kampung kerana komunis kerap membuat kacau dan mengganggu penduduk setempat serta meminta bekalan makanan.

“Ketika itu, usia saya baru 18 tahun dan langsung tidak gentar, malah makin bersemangat. Ke­tua kami (Pawang Nong) memang sangat dikenali kerana mempunyai ilmu yang luar biasa,” katanya di Kampung Seberang Tanjung Buluh di sini semalam.

Menurut Kamarudin, operasi di kawasan hutan Kampung Se­pial yang bermula pada pukul 9.30 malam itu turut disertai seorang anggota polis dikenali Wan Deraman.

Katanya, keadaan operasi yang pada mulanya agak tenang kemudian bertukar menjadi gempar apabila anggota Home Guard mula dihujani peluru komunis.

“Kami terpaksa berlindung dalam suasana gelap sambil kedengaran Pawang Nong melaung ‘Allahuakbar’ dan meminta kami membalas serangan.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya dapat rasakan peluru musuh melintasi bahagian atas topi, telinga dan kepala. Malah, bunyi peluru terkena batang pokok sangat menggerunkan.

“Itu adalah detik yang sangat menakutkan yang saya akan ingat sampai sekarang. Syukur, Allah masih pelihara dan lindungi saya. Kalau tidak, kepala saya sudah bersepai,” jelasnya.

Menurut Kamarudin, pasukan Home Guard yang ketika itu hanya berbekalkan senapang jenis Johnson atau dipanggil senapang Cap Burung Hantu berjaya menembak mati seorang pengganas komunis.

Kamarudin berkata, mayat pengganas itu dibawa keluar dan dipamerkan di padang Sekolah Kebangsaan Kuala Tembeling untuk tontonan orang ramai.

“Pada keesokan harinya, Sultan Pahang berangkat ke Kuala Tembeling untuk meraikan serta memberikan penghargaan kejayaan pasukan Home Guard dan tidak lama kemudian, saya diundang ke Pekan untuk menerima Anugerah Keberanian Termuda oleh pihak istana,” katanya.

Kamarudin berkata, tugasnya sebagai Home Guard bukan sahaja untuk mengawal kawasan, tetapi bertindak sebagai pemandu bot Sungai Jelai untuk mengangkut anggota polis dan penduduk dari bandar Kuala Lipis ke Kuala Medang.

“Benda (peralatan) yang masih saya simpan sehingga hari ini ialah sebuah enjin bot jenis ‘Canada’ berusia 63 tahun yang dibeli daripada seorang rakan dengan harga RM200,” katanya.

Mengakhiri cerita era komunis, Kamarudin yang digelar ‘Raja Sungai’ oleh penduduk Lipis berkata, walaupun tidak dibayar gaji satu sen pun oleh pihak British, dia tetap puas dan berbangga kerana dapat berbakti kepada negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI