fbpx

Wujud elemen buruh paksa dalam aktiviti lombong REE – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang 2023, hari ini FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan wujud elemen buruh paksa dan pemerdagangan manusia dalam aktiviti pelombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, elemen itu terbongkar susulan tangkapan 52 individu termasuk pekerja asing di Bukit Enggang, Sik, Kedah sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pihak polis yang menyiasat kes itu mendapati pekerja asing itu bekerja tanpa upah dan ia satu amalan buruh paksa.

“Kami difahamkan, mereka (pekerja asing) adalah dari negara Myanmar, Nepal dan beberapa negara lain. Mereka ini dipaksa korek lubang, mengeluarkan bijih dan kemudian tidak dibayar upah.

“Semua kesalahan itu kita letakkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang 2023 di sini, hari ini.

Berhubung seorang lelaki warga Malaysia yang ditahan di Norway kerana didakwa mengintip, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang meneliti maklumat dikongsi pasukan keselamatan negara berkenaan.

Jelasnya, pasukan keselamatan Norway mahu Malaysia mengesahkan latar belakang dan maklumat lelaki berusia 25 tahun itu.

Beliau berkata, tugas PDRM adalah mengesahkan maklumat yang diperlukan pasukan keselamatan Norway itu termasuk pengesahan warganegara.

Dalam perkembangan lain, mengenai ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’ beliau menyifatkan penganjuran itu dilihat tidak menghormati sambutan Hari Malaysia (16 September).

Katanya, sambutan tarikh 16 September itu sangat signifikan dan sarat dengan semangat saling hormat dan kepatuhan kepada undang-undang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI